Jabatan Penjara bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta sejak semalam.
PDRM akan sentiasa bekerjasama rapat
Memetik laporan daripada Bernama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menyatakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Penjara bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan sepanjang tempoh berkenaan.
“Memandangkan rumah itu berada di bawah kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, jadi saya telah mengarahkan IPD untuk melaksanakan pemeriksaan dan juga kawalan dari semasa ke semasa,” katanya.

Foto: Berita Harian
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM Tahun 2026 hari ini.
Tambahnya lagi, PDRM turut menempatkan beberapa pegawai bagi membantu Jabatan Penjara sepanjang Najib menjalani baki hukuman di kediamannya.
Untuk rekod, Najib mula menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah semalam selepas Mahkamah Tinggi memutuskan perintah berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu terhadap Najib, 73.
Sumber: Bernama



