Letupan Di Universiti Swasta: 1 Maut, 9 Cedera

12 Jan 2026 • 6:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda maut, manakala sembilan yang lain cedera dalam satu letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang merupakan pekerja syarikat penyaman udara itu berusia 24 tahun. 

Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.40 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian di Bukit Damansara itu berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara, yang terletak berhampiran kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.

“Seramai 10 individu terlibat, dengan seorang maut, sebahagian mengalami kecederaan parah manakala selebihnya cedera ringan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata semua mangsa telah dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran, termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh.

Fadil memberitahu, mangsa terdiri daripada empat pelajar universiti, dua pekerja kontrak, seorang kakitangan pengurusan serta dua warga asing yang bekerja di kafeteria.

“Mujur kawasan itu tidak dipenuhi ramai pelajar ketika kejadian berlaku; dipercayai kerana mereka masih  bercuti.

“Setakat ini, lokasi kejadian telah disahkan selamat sepenuhnya dan siasatan masih diteruskan,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa antara punca yang dikenal pasti ialah kemungkinan kebocoran gas bertekanan tinggi, namun perkara itu masih dalam siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Dalam insiden terbabit, beberapa mangsa mengalami kecederaan melecur akibat serpihan daripada letupan kuat yang turut menyebabkan kerosakan pada struktur dinding bangunan.

Fadil berkata, pasukan JBPM bersama unit Hazmat kini sedang menjalankan pemeriksaan serta kerja-kerja keselamatan bagi memastikan tiada risiko letupan susulan.

Seramai 38 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini, termasuk pasukan forensik dan Hazmat. - Getaran, 12 Januari 2026