LFE Corp terima kontrak RM105 juta untuk kerja pembangunan di Damansara
diyana
03/07/2023 - 17:33
KUALA LUMPUR 3 Julai - LFE Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, LFE Engineering Sdn Bhd telah menerima kontrak bernilai RM105 juta daripada PD Ara Sdn Bhd untuk melaksanakan dan menyiapkan kerja-kerja bangunan utama.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, surat setuju terima yang diperoleh itu melibatkan Cadangan Pembangunan Fasa 2 di Damansara bagi tempoh dianggarkan 30 bulan.
Pembangunan tersebut terdiri daripada satu blok pangsapuri perkhidmatan 18 tingkat dengan 126 unit termasuk kemudahan landskap; satu blok soho 11 tingkat (129 unit); dan pejabat dan pusat perubatan atau kesihatan di atas tujuh tingkat termasuk lima tingkat podium perdagangan, serta tempat letak kereta bawah tanah.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham LFE untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya.
Pada waktu penulisan, saham LFE Corporation kekal pada 14 sen sesaham dengan modal pasaran sebanyak RM155.2 juta. - DagangNews.com

