LG, jenama teknologi dari Korea Selatan hari ini telah memperlihatkan penawaran paparan skrin terbaru mereka, iaitu LG 40U990A-W, sebuah paparan skrin 40 inci yang menggunakan panel Nano IPS dan hadir dengan saiz paparan 39.7 inci.
Paparan skrin ini hadir dengan resolusi 3840×2,160 pixel dan menyokong teknologi Variable Refresh Rate bersama-sama AMD FreeSync Premium untuk memastikan bahawa bingkai-bingkai yang dijana pada skrin tidak mengalami isu screen tearing. Ia juga boleh mengolah 99 peratus daripada gamut warna DCI-P3, yang cukup penting untuk mereka yang menyunting video secara profesional.

Dari segi pilihan palam, paparan skrin ini hadir dengan satu palam Thunderbolt 5 dengan kuasa pengecasan 96W, dua palam HDMI 2.1, satu palam DisplayPort 2.1, enam palam USB 3.2 Gen2x2, satu palam audio 3.5mm dan satu palam Ethernet Gigabit.
Menariknya, LG mengatakan bahawa anda boleh menggabungkan paparan LG 40U990A-W ini dengan sebuah lagi paparan untuk menghasilkan satu paparan besar dengan resolusi 10,240 × 2,160 pixel.
Untuk mereka yang mahu mengekalkan estetika minimalis dan tersuai, paparan skrin ini juga hadir dengan dua pembesar suara 10W di bahagian belakang skrin, dan mempunyai tapak yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai ketinggian paparan ini dengan mudah.
Paparan skrin LG 40U990A-W ini nampaknya diperkenalkan khusus untuk pasaran Jepun buat masa ini, dan dijual pada harga 252,780 yen (~RM7242).
