Tecno Perkenalkan Phantom Ultimate G Fold – Telefon Skrin Lipat Tiga Paling Nipis Setakat Ini

TechnologyDigital
18 Jul 2025 • 11:32 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tecno sekali lagi mencuri perhatian dengan pengenalan Phantom Ultimate G Fold, sebuah telefon pintar konsep lipat tiga yang menampilkan rekaan dan spesifikasi menarik. Peranti ini digelar sebagai telefon tiga lipat paling nipis di dunia setakat ini, dengan paparan hampir 10-inci yang boleh dilipat masuk dalam dua bahagian untuk perlindungan lebih baik.

image is not available

Phantom Ultimate G Fold menggunakan sistem lipatan ke dalam dengan dua engsel berbeza iaitu satu engsel berbentuk waterdrop dan satu lagi engsel atas bersaiz besar. Gabungan ini membentuk struktur lipatan berbentuk “G” yang membolehkan paparan utama bersaiz 9.94-inci dilipat sepenuhnya ke dalam badan peranti. Ini memastikan skrin utama terlindung apabila peranti ditutup sambil mengekalkan paparan luar yang berfungsi seperti telefon biasa.

image is not available

Reka bentuk ini menyerupai konsep dua lipatan mendatar yang digunakan pada peranti boleh lipat semasa namun dengan pendekatan yang lebih kemas. Reka bentuk ini bukan sahaja melindungi skrin daripada kerosakan fizikal malah membolehkan peranti ditutup dengan rapat tanpa sebarang ruang kosong.

image is not available

Telefon konsep ini hanya setebal 11.49mm apabila dilipat dan 3.49mm apabila dibuka sepenuhnya. Ini menjadikannya antara peranti tiga lipatan paling nipis pernah dihasilkan. Ia menampilkan paparan utama bersaiz 9.94-inci yang disokong oleh skrin luar untuk kegunaan harian yang lebih praktikal. Untuk merealisasikan reka bentuk nipis sebegini, Tecno menggunakan bahan berkualiti tinggi seperti keluli tahan lasak 2,000MPa dan panel belakang daripada serat titan setebal hanya 0.3mm.

image is not available

Phantom Ultimate G Fold dilengkapi bateri lebih 5,000mAh yang menjadi satu pencapaian mengagumkan memandangkan reka bentuknya yang nipis. Di bahagian belakang, terdapat tiga kamera dalam susunan mendatar di bahagian tengah peranti namun konfigurasi sensor masih belum didedahkan. Beberapa butiran lain turut dirahsiakan buat masa ini termasuk saiz paparan luar, berat keseluruhan dan jenis cip pemproses yang hanya digambarkan sebagai berprestasi tinggi.

Tecno mengesahkan bahawa Phantom Ultimate G Fold akan dipamerkan dalam acara MWC 2026.