LG, jenama elektronik dari Korea yang terkenal untuk peranti-peranti pintar dan teknologi paparan skrin mereka baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah paparan skrin beresolusi tinggi untuk mereka yang bekerja dalam industri kewangan.

Dinamakan LG UltraFine 40WT95UF, paparan skrin ini adalah sebuah paparan skrin ultra-lebar bersaiz 40 inci yang hadir dengan resolusi 5K2K dengan nisbah paparan 21:9. Ia menggunakan panel IPS dan mempunyai kadar segar semula dan sokongan untuk teknologi AMD FreeSync Premium.

Paparan LG ini juga hadir dengan sokongan palam yang meluas. Ini termasuklah palam-palam USB Type-C, USB Type-A, HDMI, DisplayPort 2.1 dan palam RJ-45 untuk sambungan internet berwayar. Lebih hebat lagi, palam USB Type-C yang diperlihatkan pada paparan ini merupakan sambungan Thunderbolt 5, yang membolehkan pengguna untuk menggunakan satu kabel sahaja sebagai kabel pengecasan dan kabel sambungan paparan kepada komputer riba.

LG mengatakan bahawa paparan skrin ini diperkenalkan untuk mereka yang bekerja dalam sektor kewangan dan pelaburan, dimana mereka samada mahukan jumlah paparan yang banyak, ataupun paparan yang lebar untuk membuka banyak tetingkap perisian yang diperlukan untuk menjejak pelaburan dan hal-hal kewangan secara sekaligus.
Buat masa ini, LG masih belum mengumumkan bilakah paparan UltraFine 40WT95UF ini akan dijual.
