
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam (5 Jan) mengumumkan perlanjutan tempoh pelaksanaan e-Invois Fasa 4 yang bermula dari 1 Januari lalu kepada 12 bulan berbanding tempoh enam bulan yang ditetapkan sebelum ini.
LHDN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum komitmen pembayar cukai yang memerlukan tempoh masa mencukupi dalam mematuhi keperluan perundangan pelaksanaan e-Invois, terutamanya membabitkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan dengan lancar, Kerajaan bersetuju supaya pembayar cukai yang terlibat dalam pelaksanaan e-Invois Fasa 4 yang bermula dari 1 Januari 2026 diberi tempoh peralihan selama 12 bulan berbanding tempoh 6 bulan yang ditetapkan sebelum ini.”
Tiada sebarang penalti sepanjang peralihan dengan syarat peraturan dipatuhi
Di sepanjang tempoh peralihan tersebut, LHDN tidak akan mengenakan penalti ke atas sebarang ketidakpatuhan kepada keperluan e-Invois, dengan syarat pembayar cukai mematuhi peraturan yang dinyatakan.
Sehubungan itu, sepanjang tempoh peralihan yang bermula dari 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026, pembayar cukai dibenarkan melaksanakan perkara-perkara berikut:
- Mengeluarkan e-Invois yang disatukan untuk semua aktiviti dan transaksi, termasuk bagi industri atau aktiviti yang disenaraikan di bawah Seksyen 3.7 Garis Panduan Spesifik e-Invois
- Pengeluaran e-Invois disatukan juga dibenarkan walaupun terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli
- Mengeluarkan e-Invois bil kendiri yang disatukan untuk semua keadaan bil kendiri seperti yang digariskan di bawah Seksyen 8.3 Garis Panduan Spesifik e-Invois
- Membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan “Keterangan Produk atau Perkhidmatan
Tambah LHDN lagi, Kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan pembayar cukai dari sektor pemborongan dan peruncitan bahan pembinaan untuk mengeluarkan e-Invois disatukan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Melalui kebenaran ini, e-Invois hanya perlu dikeluarkan sekiranya melibatkan transaksi melebihi RM10,000 ke atas atau apabila terdapat permohonan daripada pembeli untuk mendapatkan e-Invois.
“Selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan seperti di atas, adalah diharapkan pembayar cukai terutamanya PMKS mempunyai tempoh masa persediaan yang secukupnya untuk melaksanakan e-Invois dan pada masa yang sama, peniaga bahan binaan tidak terbeban dengan keperluan untuk mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi.”
Pembayar cukai boleh menghubungi HASiL melalui saluran khas e-Invois seperti berikut untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat selanjutnya”
- Berkunjung ke pejabat HASiL
- Meja Bantuan e-Invois HASiL di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam)
- MyInvois Live Chat
- E-mel myinvois@hasil.gov.my bagi pertanyaan umum e-Invois
- Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju untuk memberi penangguhan pelaksanaan e-invois selama setahun lagi kepada syarikat dengan jumlah jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Langkah itu dibuat kerana masih banyak syarikat yang belum bersedia terutama dari segi kos persediaan yang dianggap tinggi.Penangguhan ini bermakna pelaksanaan e-invois yang sepatutnya bermula pada 1 Januari ini akan dilaksanakan kemudian, selepas sebelum ini turut ditunda daripada Julai 2025 ke Januari 2026.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan bahawa perniagaan dengan pendapatan tahunan bawah RM1 juta akan dikecualikan daripada e-invois.

