haziq06/01/2026 - 09:45 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Jan – Langkah intervensi pantas dan tegas yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan beban kos serta pematuhan ke atas sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) disifatkan sebagai bukti jelas suara akar umbi didengari kerajaan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas sewaan bagi syarikat baharu serta PMKS berpendapatan bawah RM1.5 juta, selain pengurangan kadar SST sewaan kepada 6%, memberi kelegaan aliran tunai segera khususnya kepada PMKS di kawasan bandar yang berdepan kos operasi tinggi.
Beliau berkata, penangguhan selama setahun pelaksanaan e-Invois bagi syarikat berpendapatan sehingga RM5 juta pula menjadi ruang bernafas yang amat kritikal untuk mengelakkan tekanan pematuhan berlebihan terhadap segmen majikan terbesar negara.
Bagaimanapun, Ng menegaskan penangguhan tersebut tidak wajar disalah tafsir sebagai pembatalan dasar.
“Cabaran struktur dalam apa yang kami istilahkan sebagai Ekonomi Pematuhan masih wujud. Kami menggesa kerajaan dan ahli-ahli Samenta agar memanfaatkan tempoh tambahan 12 bulan ini untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan peralihan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi memastikan tempoh penangguhan dimanfaatkan secara berkesan, beliau mencadangkan penubuhan Akademi Peralihan PMKS yang diterajui industri.
“Penangguhan setahun ini merupakan peluang terbaik untuk melancarkan akademi bagi melatih pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), data serta ESG yang bertauliah. PMKS perlu dibantu untuk beralih daripada kebimbangan terhadap ketidakpatuhan kepada keadaan bersedia dan berkeupayaan mematuhi peraturan baharu,” katanya.
Ng turut mencadangkan agar kerajaan menilai semula ambang RM1.5 juta secara lebih fleksibel.
Menurutnya, walaupun had tersebut merupakan titik permulaan yang baik, pendekatan berperingkat wajar dipertimbangkan bagi sektor pertumbuhan tinggi yang mencatat perolehan besar tetapi margin keuntungan yang kecil, seperti peruncitan dan pembinaan.
Beliau juga mengingatkan PMKS yang berada di bawah ambang e-Invois dan SST sewaan supaya tidak alpa, sebaliknya menggunakan tempoh penangguhan ini untuk membuat persediaan dari segi tenaga kerja, proses dan sistem.
“Bagi syarikat yang sudah bersedia melaksanakan e-Invois walaupun terdapat penangguhan, mereka digalakkan untuk meneruskannya secara sukarela,” katanya.
Dalam pada itu, Ng berkata Samenta kekal bimbang terhadap tekanan luaran yang masih berterusan, termasuk pelaksanaan Mekanisme Penyelarasan Sempadan Karbon (CBAM) Kesatuan Eropah (EU) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan memberi kesan kepada pengeksport Malaysia.
“Ancaman tiga serangkai iaitu pemampatan margin, kekangan aliran tunai dan produktiviti rendah masih membayangi sektor PMKS.
“Samenta berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menangani isu kos dan pematuhan lain. Kami merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepimpinan dan keprihatinan beliau dalam merapatkan jurang antara reformasi yang diperlukan dengan tahap kesiapsiagaan PMKS,” katanya. - DagangNews.com

