
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak mempunyai masa untuk mengeluh mengenai jadual padat apabila perlu mengharungi perlawanan keempat dalam tempoh 11 hari menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz percaya jadual padat itu bukan alasan untuk Harimau Selatan memperlahankan rentak, sebaliknya menjadi sebahagian daripada tuntutan sebuah kelab besar yang sentiasa memburu kejayaan.
Menurut Munoz, mengharungi pelbagai kejohanan kompetitif adalah ‘asam garam’ untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi dan semua pemain perlu bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan.
“Inilah hakikat yang perlu kami hadapi dan ia merupakan tuntutan apabila berada di tahap ini.
“Ketika saya masih bergelar pemain dan beraksi dalam liga serta Liga Juara-Juara, saya tidak mempunyai masa untuk berehat atau melakukan perkara lain.
“Fokus hanya kepada bola sepak dan ia tidak patut berubah walaupun saya sudah menjadi jurulatih,” katanya.
Sebagai rekod, JDT telah menghadapi pasukan PKR Svey Rieng pada bagi aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada 8 Oktober, Penang FC (Piala FA pada 9 Oktober) dan Pohang Steelers (ACLE pada 13 Oktober).
Munoz turut menjelaskan, penggiliran pemain penting bagi memastikan setiap pemain memberikan sumbangan ketika jadual perlawanan semakin mencabar.
“Pasukan bakal melakukan banyak penggiliran. Kami memerlukan semua pemain dengan kekuatan dan komitmen yang sama,” ujarnya.
The post Liga Super: Harimau Selatan tidak kenal erti penat appeared first on Kosmo Online.



