
KUALA LUMPUR – Kehadiran pemain baharu nyata menghadirkan impak besar buat Kuala Lumpur City yang raih kemenangan tipis 1-0 ke atas DPMM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Bagaimanapun tiga mata ini terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Gary Steven Robbat dilayangkan merah di hujung permainan.
Bagaimanapun, kapten KL City, Paulo Josue yang diberikan lanjutan kontrak dua tahun menghadirkan kegembiraan apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.
Keputusan itu beri khabar positif buat The City Boys yang tewas dalam dua perlawanan awal, termasuk diisytiharkan kalah 0-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi pertama ekoran tidak cukup pemain.
Pada aksi kali ini, KL City yang kini bebas daripada sekatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyenaraikan lima pemain baharu dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, DPMM FC nyata tampil lebih bersedia untuk cuba memberikan tentangan namun kedua-dua pasukan terpaksa akur terikat tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama.
DPMM FC seakan makin ghairah untuk memburu jaringan namun beberapa peluang terbaik gagal disudahkan dengan lebih baik.
Minit ke-50, Josue bijak melepaskan diri sebaliknya rembatannya berjaya dinafikan oleh penjaga gol lawan, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Sebaik memasuki masa tambahan, KL City hilang seorang pemain selepas Gary dilayangkan kad merah.
Bagaimanapun, Josue terus mengukuhkan namanya sebagai Mr. Kuala Lumpur apabila meledak gol tunggal perlawanan. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Josue pulihkan maruah KL City appeared first on Kosmo Digital.






