
AKSI menentang kelab Brunei, DPMM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, petang ini bakal menjadi detik paling kritikal buat Kuala Lumpur City yang kini mengharapkan kebangkitan semula selepas dipalit isu kekurangan pemain dalam dua perlawanan awal.
Selepas memberikan tiga mata percuma kepada Negeri Sembilan pada perlawanan pertama, The City Boys terpaksa mengharungi aksi kedua menentang Kuching City dengan 10 pemain hingga menjadi ‘mangsa’ belasahan selepas tewas 0-6.
Tonggak pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco percaya penarikan semula hukuman sekatan pendaftaran pemain baharu oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hadir tepat pada masanya untuk mengembalikan semua potensi pasukan.
“Itu yang saya harapkan (kebangkitan semula) dan mahu jadikan semua ini (isu dalaman dan kemelut kurang pemain) akan mengukuhkan hubungan pasukan. Kami memiliki skuad yang kuat dan pemain berkualiti, jadi saya berdoa untuk memastikan kebangkitan semula.
“Kami tidak boleh meletakkan tekanan kepada pemain baharu, tetapi saya mahu kekalkan mentaliti bahawa pasukan ini (KL City) sentiasa sukar untuk ditentang,” katanya.
Dalam kemaskini terbaharu, latihan pasukan sudah pun disertai oleh pemain baharu seperti Syafiq Ahmad, S Kumaahran, Saiful Jamaluddin dan Gary Steven Robbat sekali gus memberi kelegaan buat pengendali pasukan, Datuk Dollah Salleh merangka strategi lebih baik.
“Saya harap kami mampu untuk kekal berada dalam kelompok enam terbaik. Saya faham kami juga kini berada dalam fasa peralihan, pihak pengurusan juga sedang mencuba untuk selesaikan semua hutang dan melakukan perkara-perkara yang betul,” kata Gallifuoco.
The post Liga Super: KL City idam cipta kebangkitan appeared first on Kosmo Digital.






