Tebus kecewa, KL City raih kemenangan pertama Liga Super

LocalFootball
29 Aug 2026 • 8:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tebus kecewa, KL City raih kemenangan pertama Liga Super
Josue muncul wira selepas meledak gol tunggal untuk membantu KL City meraih kemenangan pertama Liga Super musim ini. Foto: FB Kuala Lumpur City

KUALA LUMPUR City FC (KL City) akhirnya mencatat kemenangan sulung Liga Super musim ini selepas jaringan lewat Paulo Josue memastikan skuad itu menewaskan DPMM FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Gol kapten berusia 37 tahun itu hadir pada masa kecederaan selepas KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain berikutan layangan kad merah kepada Gary Steven Robbat pada minit ke-90+1.

Kemenangan itu menyuntik semula semangat skuad kendalian Datuk Dollah Salleh yang sebelum ini melalui permulaan sukar apabila tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum dihukum Kuching City FC 0-6.

Turun dengan barisan lebih mantap selepas sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selesai, KL City menampilkan wajah berbeza dengan beberapa muka baharu seperti Reagy Ofosu, Syafiq Ahmad, Gary Steven dan Baqiuddin Shamsudin berada dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, DPMM terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah apabila hampir membuka jaringan menerusi Danial Asri dan Ebenezer Abban, namun ketangkasan penjaga gol serta pertahanan KL City berjaya menyekat ancaman berkenaan.

KL City turut mencipta beberapa peluang terbaik, termasuk menerusi Baqiuddin pada minit ke-44, sebelum Josue hampir memecah kebuntuan sebaik babak kedua bermula tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol DPMM, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.

DPMM yang dikendalikan dengan formasi bertahan kemas terus menyukarkan gerakan serangan KL City, malah memasukkan beberapa pemain berprofil serangan pada babak kedua bagi memburu jaringan.

Namun, usaha kedua-dua pasukan dilihat menuju keputusan seri sebelum Josue muncul sebagai penyelamat apabila menyudahkan peluang pada penghujung permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat City Boys.

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas KL City bangkit daripada dua keputusan mengecewakan dalam saingan awal liga.

KL City selepas ini dijadualkan menerima kunjungan Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), manakala DPMM bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 September.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved