
BRUNEI – DPMM FC memperoleh kemenangan ketiga berturut-turut di pentas Liga Super musim ini selepas cemerlang mengatasi Negeri Sembilan 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Perubahan taktikal yang dilakukan di hujung perlawanan nyata merubah skrip perlawanan, menyaksikan Dalberto yang dimasukan sebagai pemain gantian hanya memerlukan tempoh kira-kira 15 minit untuk mencipta impak.
Ia adalah keputusan yang sukar buat Negeri Sembilan yang kini dihimpit kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Minit ke-12, kelekaan tiga pertahanan Negeri Sembilan mengundang padah apabila penjaring terbanyak DPMM FC, Jordan Murray pantas menghidu peluang untuk melepaskan diri sebelum melakukan tandukan mudah yang menewaskan penjaga gol pelawat, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.
Selang 20 minit selepas itu, Negeri Sembilan yang dilihat kekal dengan sikap melawan akhirnya ceria, menyaksikan Luqman Hakim Shamsudin kembali menyamakan kedudukan menerusi satu rembatan deras dalam kotak penalti
Aksi menarik terus disajikan di separuh masa kedua, menyaksikan kedua-dua pasukan kekal dengan corak permainan terbuka namun beberapa peluang yang dicipta gagal disudahkan dengan jaringan.
Memasuki minit ke-75, Miguel Oliveira hampir menghasilkan jaringan kedua DPMM FC sebaliknya percubaannya itu berjaya dibaca dengan baik oleh Syahmi Adib dan situasi itu menjadikan perlawanan bertambah menarik.
Kemasukan Dalberto pada minit ke-74 nyata memberikan dimensi baharu kepada jentera serangan tuan rumah apabila penyerang dari Brazil itu meledak gol kedua DPMM FC pada minit ke-88.
Lebih manis, Dalberto sekali lagi memainkan peranan penting apabila menjadi pencetus kepada jaringan ketiga tuan rumah menerusi Oscar Santis pada masa kecederaan untuk membolehkan DPMM FC mengesahkan tiga mata penuh. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Sentuhan 15 minit Dalberto julang DPMM FC appeared first on Kosmo Online.



