
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan langkah cemerlang dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila menundukkan wakil Thailand, Port FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Kemenangan itu membolehkan Harimau Selatan mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan untuk menduduki tangga kedua Zon Timur, dua mata di belakang pendahulu, Vissel Kobe dari Jepun.
Beraksi di hadapan 19,174 penonton, skuad kendalian Xisco Munoz menguasai permainan sejak awal, namun gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama.
Penyerang kelahiran Iran, Shahab Zahedi bergelut mencari rentak, manakala Oscar Arribas turut mensia-siakan peluang menerusi dua percubaan, termasuk sepakan percuma yang tersasar.
Peluang terbaik JDT hadir menerusi kapten, Arif Aiman Hanafi pada minit ke-41, tetapi rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Port FC, Michael Falkesgaard.
Bersambung babak kedua, JDT meningkatkan tekanan sebelum Jonathan Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-53 menerusi voli rendah hasil hantaran lambung Arif Aiman dari sebelah kanan.
Arif Aiman hampir menggandakan kelebihan tiga minit kemudian, namun rembatannya sekadar menggegar jaring sisi gol lawan.
Kemasukan Bergson da Silva pada minit ke-57 menggantikan Zahedi membuahkan hasil apabila tandukannya terbias pada kaki pertahanan lawan sebelum menerjah gawang pada minit ke-62.
Bergson meraikan jaringan itu dengan penuh emosi sehingga dilayangkan kad kuning selepas menanggalkan jersi. Bagaimanapun, dia terpaksa dikeluarkan tidak lama kemudian akibat kecederaan dan digantikan Stoichkov.
Port FC hampir merapatkan jurang menerusi Jude Soonsup-Bell pada minit ke-70, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain berkenaan berada dalam kedudukan ofsaid.
JDT terus mengasak sebelum melengkapkan kemenangan bergaya menerusi Stoichkov pada minit ke-86. Serangan balas pantas yang dimulakan larian Marcos Guilherme disudahkan dengan tenang untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah.
JDT selepas ini akan berkunjung ke Korea Selatan bagi menentang Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Piala Dunia Jeonju pada 3 November depan. – KOSMO! ONLINE
The post ACLE: JDT mudah jinakkan Port FC 3-0 appeared first on Kosmo Online.





