‘Lihat Azeva sekarang, saya boleh ‘pergi’ dengan tenang’ 

EntertainmentMusic
13 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Lihat Azeva sekarang, saya boleh ‘pergi’ dengan tenang’ 

KUALA LUMPUR – “Azeva harapan saya sebab dia ada semua pakej dari segi suara dan rupa. Inilah tempat dia dalam industri, rugilah.”

Demikian perkongsian penerbit Datuk A. Aida yang menyimpan harapan besar untuk melihat anak perempuannya, Azeva, menempa nama dalam dunia seni.

Berkongsi lanjut, pemilik nama sebenar Zaidah Awang, 56, mengakui dapat melihat titik permulaan anaknya itu seolah-olah menyempurnakan sisa-sisa usianya, terutamanya selepas berdepan masalah kesihatan serius sebelum ini yang hampir meragut nyawanya.

“Masa saya koma dulu, doktor kata peluang saya pergi 99.9 peratus, tak ada peluang hidup. Tapi saya hidup kembali.

“Ada seorang ustaz kata mungkin ada urusan yang belum selesai. Jadi, saya tak fikir lain, terfikir Azeva sahaja, mungkin inilah urusan itu.

“Mungkin selepas ini kalau saya pergi pun, orang cakap boleh tutup mata dengan tenang sebab melihat dia sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika majlis pelancaran single sulung Azeva berjudul Tanpa Rasa Jemu, baru-baru ini.

Menurut pelakon filem Putera itu, dia mula mengesan bakat puterinya sejak anaknya berusia 13 tahun dan tidak pernah putus asa memujuk menghasilkan album mahupun berlakon.

“Daripada umur 13 Azeva sudah menyanyi di sekolah. Jadi, saya baru sedar dia ada ton yang unik dan istimewa. Yang penting dia ada rupa.

“Sejak itu, saya selalu pujuk dia buat album dan berlakon tapi dia tak nak. 10 tahun saya pujuk, kadang-kadang dia merajuk dengan berdiam,” ujarnya.

Penat lelah dan kesabaran berbaloi, A. Aida dapat menyaksikan pelancaran single sulung Azeva selain filem yang bakal menemui penonton 1 Oktober depan.

“Hari ini saya saksikan single anak saya keluar dan 1 Oktober nanti filem dia pula dilancarkan. Rasa macam dalam mimpi tapi saya bangga sebagai ibu.

“Maknanya harapan dan impian saya selama ini tercapai. Kalau saya mati pun boleh kata menutup mata dengan tenang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Azeva mendedahkan bertekad mahu serius dalam bidang seni selepas ibunya berdepan ujian kesihatan pada tahun lalu.

Terdahulu, A. Aida dilaporkan rebah selepas melakukan rawatan fisioterapi dan difahamkan dia baru dua hari menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya.

Begitupun, dia yang dikatakan dalam keadaan sihat selepas pembedahan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas sesi rawatan fisioterapi. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Lihat Azeva sekarang, saya boleh ‘pergi’ dengan tenang’  appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved