'Tiga hari mama koma...' - Azeva throwback saat genting A Aida koma, nekad tunai janji realisasi impian ibu

Entertainment
12 Sep 2026 • 10:26 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Tiga hari mama koma...' - Azeva throwback saat genting A Aida koma, nekad tunai janji realisasi impian ibu

"INI adalah hadiah buat mama."

Demikian tutur penyanyi dan pengacara, Azeva yang tampil dengan single sulung berjudul 'Tanpa Rasa Jemu'.

Pemilik nama Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, berkata kepada SinarPlus, keputusan untuk serius dalam bidang seni tercetus selepas ibunya, penerbit terkenal Datuk A  Aida, bertarung nyawa susulan komplikasi pembedahan lutut.

Situasi itu sekali gus menghidupkan kembali impiannya dalam bidang seni suara yang pernah tertangguh ketika berusia 19 tahun.

"Kali ini saya sudi merakamkan lagu ni untuk mama selepas kami diuji apabila mama koma tiga hari.

Image from: 'Tiga hari mama koma...' - Azeva throwback saat genting A Aida koma, nekad tunai janji realisasi impian ibu

"Malah ketika itu doktor minta kami sekeluarga bersedia kerana mama sudah 99 peratus tiada dunia ini.

"Saya berdoa 'Ya ALLAH, kembalikanlah ibuku dan kalau dia kembali, saya janji untuk buat semua dia suruh.'

"Alhamdulullah saya bersyukur apabila mama kembali sihat. Saya memang dengan rela hati buat semua yang mama minta," ujarnya.

Janji itu bukan sekadar kata-kata apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Victoria University, Australia tersebut sanggup menangguhkan pengajian kursus perakaunan profesional demi merealisasikan impian ibunya.

"Mama kata tak payah belikan hadiah, hanya berikan dia lagu. Saya pun yakin dengan lagu ini. Lirik pun 100 peratus daripadanya. Saya bersyukur mama tuliskan lirik lagu pertama saya,," tuturnya.

'TIDAK MAHU LAGI LIHAT MAMA KERJA' -AZEVA

Dalam pada itu, pengacara Big Stage Rocketfuel tersebut mengakui jadualnya pada 2026 begitu padat, namun menganggap sudah tiba masa untuk membalas segala jasa ibunya.

Image from: 'Tiga hari mama koma...' - Azeva throwback saat genting A Aida koma, nekad tunai janji realisasi impian ibu

"Kalau selama ini saya masuk pejabat mama, kini saya bekerja untuk menanggung mama pula.

"Saya sebenarnya sudah tidak mahu untuk melihat mama bekerja, malah saya dapat lihat dia penat selepas hampir 40 tahun mencari rezeki.

"Ini masanya untuk mama rehat dan menikmati hidup ini. Saya berazam untuk berikan apa yang termampu untuk mama," kongsinya.

Menurut Azeva, daripada beberapa pilihan lagu yang diterimanya, Tanpa Rasa Jemu berjaya mencuri hatinya sejak pertama kali didengarkan.

Susunan muzik, lirik yang menyentuh jiwa serta dinamik lagu yang kuat membuatkan dia yakin karya tersebut adalah pilihan terbaik untuk diperkenalkan sebagai single sulung.

Lebih istimewa, proses menghasilkan lagu itu turut membabitkan ibunya yang menulis lirik, selain mendapat bimbingan daripada barisan komposer berpengalaman.

"Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini.

"Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas. Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman.

"Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa," katanya.

RESTU IBU

Image from: 'Tiga hari mama koma...' - Azeva throwback saat genting A Aida koma, nekad tunai janji realisasi impian ibu

Sementara itu, A Aida tidak dapat menahan air mata melihat Azeva mula bertapak dalam industri seni kreatif.

Selain bertindak sebagai pengurus Azeva, penerbit terkenal itu turut menyaksikan sendiri perkembangan anak keduanya selepas terpilih menyertai rancangan realiti TV Talk To My Manager dan mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan.

"ALLAH seolah-olah mempermudahkan dan merestui doa seorang ibu. Ia seolah platform untuk dia mengembangkan bakat dan mencipta nama.

"Hari ini saya saksikan single anak saya keluar dan disusuli filem pertamanya pada 1 Oktober. Seperti dalam mimpi kerana impian saya akhirnya tercapai.

"Ketika saya koma dahulu, jangkaan doktor 99.9 peratus saya tiada peluang untuk hidup. Namun Alhamdulillah saya selamat. Saya diberitahu seorang ustaz bahawa saya masih ada hal yang belum selesai. Ketika itu dalam fikiran saya hanya terlintas Azeva sahaja.

"Kini jika ditakdir saya menutup mata, saya akan pergi dengan tenang kerana dia ada semua pakej walaupun selepas tamat belajar dia seorang akauntan," kongsinya.

TANPA RASA JEMU RUNUT BUNYI FILEM BISIKAN NAFSU

Image from: 'Tiga hari mama koma...' - Azeva throwback saat genting A Aida koma, nekad tunai janji realisasi impian ibu

Lagu Tanpa Rasa Jemu yang mengangkat tema kasih sayang dan kesetiaan tanpa syarat merupakan ciptaan Zul 2By2, Aiman serta Madi Mulyadi, manakala liriknya ditulis A Aida.

Lagu berkenaan turut menjadi runut bunyi filem pertama lakonan Azeva, Bisikan Nafsu yang mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya walaupun berdepan ujian yang amat berat. Filem ini bakal menemui penonton pada 1 Oktober 2026 di pawagam di seluruh negara.

Bagi Azeva, mesej itu bukan sekadar berkisar tentang cinta antara pasangan, malah boleh diterjemahkan kepada kasih sayang dalam keluarga yang sentiasa menerima dan menyokong tanpa mengenal penat atau jemu.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional ketika memulakan rakaman lagu tersebut, Azeva mengakui proses pembikinan single pertama itu banyak mengajarnya mengenai teknik vokal, sebutan dan kawalan suara.

"Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung, sekali gus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang," katanya.

Azeva turut memaklumkan bahawa dua lagi projek rakaman sedang dalam perancangan, termasuk versi baharu lagu Sejiwa yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya serta sebuah lagu tema untuk filem animasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved