Likei Logistic rancang IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2025 • 10:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Likei Logistic rancang IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

image is not available

14/10/2025 - 10:17

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt – Penyedia perkhidmatan logistik, Likei Logistic Services Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) bagi mengumpul dana untuk memperluas operasi dan kapasiti perniagaannya.

Menurut draf prospektus syarikat itu, IPO berkenaan akan melibatkan terbitan 92.19 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 51.63 juta saham sedia ada.

Penyenaraian tersebut bakal menawarkan 41.78% pegangan dalam syarikat kepada pelabur, sekali gus membuka peluang kepada pelabur runcit dan institusi untuk menyertai pertumbuhan Likei Logistic pada peringkat seterusnya.

Hasil daripada tawaran untuk jualan akan diterima oleh Keith Law Li Kit, pemegang saham terbesar syarikat dan juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif.

Selepas penyenaraian, pegangan saham beliau dijangka berkurangan daripada 59.63% kepada 28.66%.

Syarikat merancang menggunakan dana yang diperoleh daripada penjualan saham baharu bagi membiayai pertambahan aset kenderaan komersialnya, membina sebuah gudang baharu serta menampung keperluan modal kerja semasa operasi berkembang.

Berpengkalan di Pelabuhan Klang, Likei Logistic melalui anak syarikatnya menawarkan perkhidmatan pengangkutan kontena dan logistik lain, perkhidmatan penghantaran kargo serta perkhidmatan pergudangan.

Perkhidmatan teras ini menjadi tunjang utama pendapatan syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY2025), Likei Logistic melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM10.55 juta dengan hasil sebanyak RM37.12 juta.

Margin PAT bagi tempoh itu ialah 30.23%, merosot sedikit berbanding 31.45% pada FY2024 namun lebih tinggi daripada 28.33% pada FY2023.

Perkhidmatan pengangkutan kontena dan logistik lain kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan RM25.45 juta atau 68.56% daripada jumlah hasil keseluruhan.

Ini diikuti oleh perkhidmatan penghantaran kargo sebanyak RM10.3 juta (27.75%), perkhidmatan pergudangan sebanyak RM1.03 juta (2.77%) dan perdagangan barangan sebanyak RM344,000 (0.92%).

Penyenaraian di Pasaran ACE dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan Likei Logistic dalam industri logistik dan rantaian bekalan negara, terutama ketika sektor itu menunjukkan pertumbuhan stabil selepas pandemik.

KAF Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com

standard