U Mobile sewakan rangkaian 4G, 5G kepada Eastel yang bakal dilancarkan pada tahun 2026

LocalTechnology
13 Oct 2025 • 5:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

U Mobile sewakan rangkaian 4G, 5G kepada Eastel yang bakal dilancarkan pada tahun 2026

image is not available

13/10/2025 - 17:22

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – U Mobile, penyedia rangkaian 5G terbaru Malaysia, menandatangani perjanjian akses borong 5G dan 4G yang pertama dengan Eastel, pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) di bawah Anchor Communications Sdn Bhd.

Perkhidmatan itu dijangka mula dilancarkan pada suku pertama 2026.

Kontrak lima tahun itu membolehkan Eastel memanfaatkan rangkaian 5G generasi seterusnya dan rangkaian 4G U Mobile untuk perkhidmatan data, suara, SMS, panggilan terus antarabangsa (IDD), perayauan dan perkhidmatan pertukaran nombor mudah alih.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Kenneth Chang berkata, perkongsian kerjasama itu adalah permulaan kepada lebih banyak perjanjian borong 5G pada masa hadapan.

“Ini selaras dengan rancangan pengembangan rangkaian 5G U Mobile yang dijangka mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk (CoPA) pada separuh kedua 2026.

“Dengan rangkaian 4G dan 5G yang diiktiraf pelbagai anugerah, kami menjangka dapat membuka peluang kepada lebih banyak pemain telekomunikasi untuk memanfaatkan infrastruktur dan kepakaran operasi kami.

“Secara tidak langsung, menyokong ekonomi digital negara melalui persaingan yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eastel, Aaron Lee berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat menyokong ekonomi rakyat melalui perkhidmatan mobiliti bersifat data intensif dan boleh disesuaikan.

Pelancaran komersial Eastel dijangka pada suku pertama 2026, dengan pelan perkhidmatan dan peluang perkongsian akan diumumkan tidak lama lagi. - DagangNews.com

standard