Lima dekad berbakti, Anwar jadi penerima pertama Anugerah Kecemerlangan Sheikh Abu Bakar

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 12:20 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Lima dekad berbakti, Anwar jadi penerima pertama Anugerah Kecemerlangan Sheikh Abu Bakar

NEW DELHI – Lebih lima dekad mencurahkan khidmat dalam arena awam dan pembangunan pemikiran Islam melayakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penerima sulung Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar.

Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan ekonomi dan institusi, dialog antarabangsa serta usaha meningkatkan kesejahteraan manusia.

Anugerah berkenaan disampaikan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad dalam majlis ‘Gathering of Honour Prime Minister Malaysia’ di Markazu Saquafathi Sunniya atau Jamia Markaz, India.

Selain anugerah tersebut, Anwar turut menerima plak penghargaan dan manuskrip Sahih Bukhari.

Rektor Yayasan Sheikh Abu Bakar, Dr Roshan Nurani berkata, Perdana Menteri telah memperlihatkan ketabahan, visi dan komitmen berterusan terhadap pendidikan, pembangunan saksama, dialog serta pemeliharaan martabat manusia.

“Maka dengan ini, Yayasan Sheikh Abu Bakar menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar yang pertama kepada Anwar Ibrahim.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam perkhidmatan awam, pendidikan, pembangunan ekonomi dan institusi, pemikiran Islam serta dialog antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, sumbangan Anwar tidak hanya tertumpu kepada arena politik, malah merangkumi usaha memelihara dan menyebarluaskan tradisi keilmuan Islam.

Pengiktirafan tersebut disampaikan sempena lawatan Perdana Menteri ke Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India yang turut menjalin kerjasama akademik dengan beberapa universiti ternama di Malaysia.

Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda rasmi Anwar ke India bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India, selain meneroka peluang kerjasama dalam bidang baharu.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Sheikh Abubakr selepas menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Ke-18 di New Delhi.

Sheikh Abubakr yang merupakan Mufti Besar India ke-10 pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa daripada Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang keilmuan dan kegiatan kemanusiaan.

The post Lima dekad berbakti, Anwar jadi penerima pertama Anugerah Kecemerlangan Sheikh Abu Bakar appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved