
SHAH ALAM, 30 SEPT: Tindakan lima individu yang dipercayai cuba mengaut keuntungan mudah dengan menggadai barang kemas palsu mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan daripada pengurus sebuah kedai pajak gadai pada jam 1.58 tengah hari.
Menurutnya, pengurus berkenaan mendakwa menerima seutas gelang emas dianggarkan seberat 23 gram dan bernilai RM13,000 mengikut harga pasaran daripada seorang individu.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati gelang emas berkenaan adalah palsu sebelum polis bertindak berdasarkan maklumat diterima.
“Suspek berusia 34 hingga 62 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga asing.
“Semakan mendapati seorang suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Yusof berkata dua lagi suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.
Menurutnya, polis yakin penahanan kesemua suspek dapat membantu siasatan beberapa kes berkaitan pemajakan atau penjualan emas palsu yang berlaku di sekitar Kota Tinggi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Kesemua suspek direman selama tiga hari hingga 2 Oktober bagi membantu siasatan.






