Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35

LocalEntertainment
20 Nov 2026 • 5:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35

KUALA LUMPUR: Persaingan merebut gelaran Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dijangka sengit apabila lima karya dengan kekuatan tersendiri bakal bersaing pada malam kemuncak acara itu di Istana Budaya, Sabtu ini.

Lima filem yang tercalon ialah Khadam, Malam Terlarang, Mother Bhumi, Macai dan Abah Saya Uncle Mike, masing-masing membawa pendekatan penceritaan berbeza merangkumi genre seram, jenayah, drama sosial serta kisah kemanusiaan.

Image from: Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35Image from: Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35

Dua filem seram, Khadam arahan Shamyl Othman dan Malam Terlarang arahan Allahyarham Norhanisham Muhammad atau Labu, mendahului senarai dengan masing-masing meraih 12 pencalonan.

Khadam mengangkat kisah Melor, seorang wanita yang berdepan gangguan saka keluarga sehingga identiti dan kehidupannya sebagai isteri serta ibu mula terancam.

Sementara itu, Malam Terlarang mengetengahkan kisah berlatar penghujung 1980-an yang menggabungkan unsur mistik, konflik kekeluargaan dan percaturan politik.

Filem berkenaan turut mencatat kejayaan komersial dengan kutipan kira-kira RM12.2 juta serta meraih empat pengiktirafan sebagai Pemenang Kebangsaan Malaysia pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026.

Image from: Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35

Turut menjadi pencabar ialah Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun yang memperoleh lapan pencalonan. Dibintangi pelakon antarabangsa, Fan Bingbing, filem itu sebelum ini mencipta kejayaan apabila memenangi tiga anugerah pada Golden Horse Awards ke-62, termasuk Pelakon Wanita Terbaik.

Sementara itu, Macai arahan Sun-J Perumal yang meraih enam pencalonan tampil dengan pendekatan thriller jenayah yang turut menyentuh realiti sosial dan struktur kuasa. Filem itu sebelum ini dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur ke-11.

Image from: Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35 Image from: Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35

Sebuah lagi calon, Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Gazali, membawa kisah benar Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu.

Dengan lapan pencalonan, filem lakonan Andy Teh, Idan Aedan, Merah Muhaimin dan Umar Shakur itu mengetengahkan nilai kasih sayang, pengorbanan serta perpaduan merentasi perbezaan kaum dan agama.

Menariknya, FFM35 turut memperkenalkan sistem penjurian baharu yang menggabungkan penilaian bekas pemenang festival dan panel juri profesional.

Menerusi sistem itu, 70 peratus markah akhir ditentukan oleh kira-kira 100 hingga 150 bekas pemenang FFM, manakala baki 30 peratus daripada panel juri profesional.

Pendekatan berkenaan dijangka menjadikan keputusan lebih sukar diramal memandangkan setiap filem mempunyai kelebihan tersendiri, sekali gus membuktikan jumlah pencalonan bukan penentu mutlak kemenangan.

Pemenang Filem Terbaik FFM35 turut bakal menerima sokongan penerbitan bernilai RM1 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif bagi membantu penghasilan karya seterusnya.

Malam kemuncak FFM35 bertemakan Spektrum Sinema akan berlangsung pada 21 November ini, pukul 8.30 malam, di Istana Budaya dan dihoskan Datuk Afdlin Shauki serta Amelia Henderson.

Majlis itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM dan saluran YouTube rasmi FINAS.

The post Lima filem buru gelaran Filem Terbaik FFM35 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved