Antara Khadam, Malam Terlarang, Mother Bhumi, Macai & Abah Saya Uncle Mike, Filem Manakah Bakal Dinobat Filem Terbaik FFM35?

20 Nov 2026 • 12:10 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

Antara Khadam, Malam Terlarang, Mother Bhumi, Macai & Abah Saya Uncle Mike, Filem Manakah Bakal Dinobat Filem Terbaik FFM35?

Debaran menjelang malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) semakin terasa apabila lima karya tempatan bakal berentap merebut pengiktirafan tertinggi, Filem Terbaik.Lebih menarik, dua naskhah seram iaitu Khadam dan Malam Terlarang dilihat mendahului saingan selepas masing-masing meraih 12 pencalonan pada edisi kali ini.Bagaimanapun, persaingan masih terbuka apabila Mother Bhumi, Macai dan Abah Saya Uncle Mike turut hadir dengan pencapaian serta kekuatan penceritaan tersendiri.Bertemakan ‘Spektrum Sinema’, FFM35 yang bakal berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 November ini memperlihatkan kepelbagaian genre dan pendekatan kreatif dalam industri perfileman Malaysia.Filem Khadam arahan Shamyl Othman mengangkat kisah Melor, seorang wanita yang mewarisi saka keluarganya sebelum berdepan ancaman entiti ghaib yang menyerupai dirinya.Dibintangi Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim, karya berkenaan menggabungkan elemen seram dengan konflik psikologi, identiti serta tanggungjawab kekeluargaan.Selain Filem Terbaik, Khadam turut menerima pencalonan dalam kategori utama termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Sinematografi Terbaik.Sementara itu, Malam Terlarang arahan Allahyarham Norhanisham Muhammad atau Labu turut mencatat 12 pencalonan.Berlatarbelakangkan penghujung 1980-an, filem lakonan Shasha Abedul, Datin Sofia Jane dan Zul Ariffin itu menggabungkan unsur mistik, konflik keluarga serta pergolakan politik.Selain mencatat kutipan sekitar RM12.2 juta di pawagam berdasarkan statistik FINAS, Malam Terlarang turut meraih empat pengiktirafan sebagai Pemenang Kebangsaan Malaysia pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026.Kemenangan dalam kategori Filem Terbaik FFM35 pastinya membawa makna tersendiri buat pasukan produksi karya tersebut selepas pemergian pengarahnya pada Mei lalu.Dalam pada itu, Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun hadir sebagai pencabar yang tidak boleh dipandang ringan meskipun hanya memperoleh lapan pencalonan.Menampilkan pelakon terkenal China, Fan Bingbing, filem berkenaan mengisahkan kehidupan seorang ibu tunggal yang berdepan konflik perebutan tanah serta persoalan mengenai kematian suaminya.Karya itu sebelum ini mencipta pencapaian antarabangsa apabila memenangi tiga anugerah pada Golden Horse Awards ke-62, termasuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi Fan Bingbing, Sinematografi Terbaik dan Lagu Filem Asal Terbaik.Turut bersaing ialah Macai arahan Sun-J Perumal yang menerima enam pencalonan.Filem bergenre jenayah dan thriller itu mengisahkan seorang pengedar dadah bernama Siam yang terpaksa berdepan pelbagai konflik selepas kehilangan bekalan milik ketua sindiket berpengaruh.Walaupun mencatat jumlah pencalonan paling rendah antara lima calon Filem Terbaik, Macai mempunyai kelebihan tersendiri selepas dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur ke-11, Jun lalu.Melengkapkan saingan ialah Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Gazali yang memperoleh lapan pencalonan.Diinspirasikan daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike, filem itu mengetengahkan pengorbanan seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu.Dibintangi Andy Teh, Idan Aedan, Merah Muhaimin dan Umar Shakur, karya berkenaan mempertaruhkan kekuatan emosi serta nilai kekeluargaan yang merentasi perbezaan kaum dan agama.Malah, Idan Aedan turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Andy Teh bersaing dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.Dengan kekuatan yang berbeza, jumlah pencalonan yang tinggi tidak semestinya menjamin kemenangan, sekali gus menjadikan keputusan kategori Filem Terbaik antara yang paling dinantikan.Pemenang Filem Terbaik FFM35 juga bakal menerima sokongan penerbitan bernilai RM1 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif bagi membantu penghasilan karya seterusnya.Dana tersebut merupakan bantuan pembangunan dan penerbitan, bukannya hadiah wang tunai yang diberikan secara langsung kepada pemenang.Malam kemuncak FFM35 bakal berlangsung pada Sabtu, 21 November 2026, jam 8.30 malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.Acara yang dikendalikan Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM serta saluran YouTube rasmi FINAS.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved