KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), bekas Ketua Pegawai Eksekutif, bekas Ketua Pegawai Kewangan serta seorang kakitangan yang masih berkhidmat dengan institusi itu antara lima individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan TH.
Kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 48 hingga 70 tahun itu ditahan pada Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah tersebut, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pembayaran hibah pada tahun 2017.
“Dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, tiga individu yang disiasat berhubung isu pembayaran hibah direman selama dua hari bermula 9 hingga 10 September.
“Dua lagi individu yang disiasat di bawah AMLA pula dibenarkan direman selama tiga hari bermula 9 hingga 11 September.
“Kesemua tangkapan melibatkan bekas Pengerusi TH, bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, bekas Ketua Pegawai Kewangan TH serta seorang kakitangan yang masih berkhidmat dengan Tabung Haji. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Rusdi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
“Penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai diminta mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi,” katanya.






