
SHAH ALAM, 21 OKT: Lima kawasan di Selangor kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini, dengan Johan Setia mencatat bacaan tertinggi iaitu 161.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Banting merekodkan IPU 160, diikuti Klang (159), manakala Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatat bacaan 158.
Kuala Selangor pula menjadi satu-satunya kawasan di negeri ini yang merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana dengan bacaan IPU 84.
Sementara itu, Bukit Rambai di Melaka mencatat bacaan IPU tertinggi di seluruh negara iaitu 174, diikuti Bandaraya Melaka (162), Nilai di Negeri Sembilan (161), Cheras di Kuala Lumpur (160) dan Batu Muda (159).
Antara kawasan lain yang turut mencatat IPU tidak sihat ialah Putrajaya (158), Seremban (158), Batu Pahat (157), Port Dickson (155), Larkin (155) dan Pasir Gudang (152).
Secara keseluruhan, sebanyak 22 kawasan di seluruh negara mencatat IPU tidak sihat manakala 38 kawasan berada pada tahap sederhana.
Bagaimanapun hanya lapan kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.






