
Kota Kinabalu: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan mengedar dadah, dengan tiga daripadanya didakwa terbabit mengedar 20.7 kilogram ketamin.
Mereka ialah pengurus syarikat Lim Chia Siong, 36; kerani Zulkifli Abdullah @ Lee You Lim, 58; pemilik syarikat Leong Vin Ming, 47; pelayan restoran Mohammad Adam Jelson, 20; dan penganggur Abu Bakar Sidik Ibrahim, 44, yang masing-masing berdepan pertuduhan di hadapan majistret berasingan.
Lim, Zulkifli dan Leong didakwa bersama-sama mengedar 20,700 gram ketamin pada 4 Sept tahun ini, jam 12.15 tengah hari di GMP Services, Taman Sri Kepayan, Kepayan. Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Adam pula didakwa mengedar 139.44 gram 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada 11 Sept, jam 11 pagi di tempat letak kereta University Utama Condominium, Jalan Kayu Madang, Telipok.
Sementara itu, Abu Bakar dituduh mengedar 53.11 gram syabu pada 5 Sept, jam 4.30 petang di tepi jalan Kampung Ambatin, Jalan Terowong, Sabah Port Bypass, Sepanggar.
Adam dan Abu Bakar didakwa di hadapan Majistret Marilyn Kelvin, juga mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan.
Majistret Dzul menetapkan 12 Nov untuk sebutan kes Lim, Zulkifli dan Leong sementara menunggu laporan kimia, manakala kes Adam dan Abu Bakar ditetapkan pada 13 Nov, juga sementara menunggu laporan kimia.
Sehingga tarikh berkenaan, semua tertuduh diperintahkan ditahan reman kerana pertuduhan terhadap mereka tidak membenarkan jaminan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan, mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Leong diwakili peguam Ariel Dasan, Dominic Chew dan Eow Ee Pei. Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah dan Yusdi Basri.

