Polis tumpas aktiviti edar dadah guna kaedah COD

11 Sep 2025 • 3:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang menjalankan aktiviti penjualan bahan terlarang menggunakan kaedah bayaran tunai semasa penghantaran (cash-on-delivery atau COD) di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang sejak awal tahun ini.

Suspek ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah di luar lobi sebuah premis di Bundusan, Penampang pada jam 8.55 malam, menurut Info X.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah ACP Alhusin Halil berkata pemeriksaan awal menemui empat paket plastik merah putih berlabel “Supreme Plus+” yang mengandungi 122.3 gram serbuk dipercayai ekstasi.

Polis turut merampas satu paket kecil lutsinar berisi 13 biji pil berwarna merah jambu bertanda “Refex” seberat 4.8 gram dipercayai pil ekstasi, sebuah kenderaan Toyota Hilux serta wang tunai RM6,400.

Berikutan penahanan itu, polis melancarkan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Nelly, Kolombong, pada malam sama dan menemui pelbagai paket berisi 1,223.7 gram serbuk dipercayai ekstasi serta dua paket berisi 53.2 gram hablur dipercayai ketamin.

Turut dirampas ialah mata wang asing bernilai USD5,395, barangan kemas termasuk dua gelang, satu rantai dan lima cincin, selain peralatan penyegel dan hampir 100 paket plastik kosong yang dipercayai digunakan untuk memproses serbuk ekstasi.

Suspek mengaku mengedar ekstasi dan ketamin di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu sejak awal 2025 melalui perkhidmatan ‘cash-on-delivery’.

Polis merampas sejumlah 1,346 gram serbuk ekstasi, 53.2 gram ketamin dan 4.8 gram pil ekstasi dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM54,840.