
PONTIAN: Lima lokasi yang telah dikenalpasti terlibat menjalankan aktiviti penambakan tanah daripada sisa binaan dari Singapura yang dikenalpasti di daerah ini telah diarah tutup, serta merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md. Israk Abdullah berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat penyelarasan melibatkan beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah Pontian, Pejabat Tanah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan.
Katanya, tindakan bersepadu diambil susulan aduan awam yang diterima penduduk berhubung aktiviti berkenaan yang didakwa semakin banyak berlaku sejak kebelakangan ini.
“Antara yang dipersetujui adalah pemilik tanah perlu menyediakan kemudahan bersesuaian bagi pelupusan sisa selaras dengan arahan dan keperluan SWCorp. Tindakan juga boleh diambil Akta 672 sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Selain itu, Pejabat Tanah turut diminta mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara sekiranya didapati penggunaan tanah berkenaan tidak mematuhi zon, perancangan guna tanah atau melanggar syarat nyata tanah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor berkata demikian ketika meninjau lokasi aktiviti tersebut di Kampung Sungai Senai, Belokok, di sini hari ini.
Tambah Md. Israk, pihaknya berharap aktiviti penambakan yang tidak terkawal, termasuk kerja tanah yang dijalankan tanpa kelulusan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dihentikan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Farid Hassan pula berkata, pihaknya telah mengenal pasti lebih daripada lima lokasi yang terlibat dengan aktiviti penambakan berkenaan di sekitar Kukup.
“Tindakan susulan akan dibuat berdasarkan hasil perbincangan antara jabatan, termasuk meneliti aspek pelupusan sisa, syarat penggunaan tanah dan keperluan kelulusan kerja-kerja tanah.
“Kita akan gunakan peruntukan undang-undang yang bersesuaian daripada SWCorp, Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal aktiviti penambakan yang tidak terkawal ini,” katanya.
Tambah Mohd. Farid, antara lokasi yang telah dikenalpasti termasuklah Jalan Batu 57 dan Sungai Karang.-UTUSAN
The post Lima lokasi terlibat aktiviti penambakan sisa binaan di Pontian diarah tutup appeared first on Utusan Malaysia.






