
PETALING JAYA – Kesemua lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Marudi, Sarawak ditemukan dalam keadaan jasad tidak sempurna selepas pesawat itu terhempas dan terbakar, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, bagaimanapun, pihaknya berjaya mengenal pasti kesemua mangsa berdasarkan barang peribadi, cebisan pakaian dan kedudukan tempat duduk mereka.
“Tidak ada satu pun jasad ataupun mangsa yang kita jumpai sempurna,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, pengecaman secara rasmi akan dilakukan pihak hospital menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurutnya, sampel DNA daripada kesemua keluarga mangsa juga sudah diambil bagi membantu proses pengecaman.

“Untuk cebisan-cebisan dan juga jasad-jasad ini akan kita bawa ke hospital untuk kita buat ujian juga,” katanya.
Kelima-lima mangsa terdiri daripada juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30,Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, dan Alexson Adit Henry, 31.
Helikopter BO-105S itu terhempas di hujung landasan terbang Long Lelang kira-kira jam 3.40 petang semalam. – KOSMO! ONLINE
The post Lima mangsa helikopter terhempas ditemukan dalam keadaan tidak sempurna appeared first on Kosmo Online.






