
PETALING JAYA – “Jasad abang dah jumpa, Allah jaga abang seeloknya, tak terbakar 100 peratus.”
Demikian perkongsian pengguna Thread Aimnsuhaimi berhubung jenazah abang iparnya, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, seorang daripada lima mangsa nahas helikopter BO-105 yang terhempas di Long Lellang, Miri semalam.
Dia berkongsi perkara berkenaan menerusi satu komen ditinggalkan pada hantaran seorang pengguna Thread lain yang memuat naik hantaran berkait kisah nahas helikopter tersebut.
Selain itu, Aimnsuhaimi turut berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan mangsa-mangsa dalam kejadian itu.
“Alhamdulillah berkat doa semua orang, terima kasih semua,” katanya.
Terdahulu, lima mayat mangsa nahas helikopter BO-105 yang terhempas di Long Lellang, Miri semalam dibawa ke Hospital Miri menggunakan helikopter bomba serta tiba di sana kira-kira pukul 6 petang tadi.
Selain Kapten Zainol Afiq, empat lagi mangsa adalah petugas Kementerian Kesihatan iaitu Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Alexson Adit Henry, 31, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Allah jaga abang seeloknya’ appeared first on Kosmo Online.






