Bot fiber tanpa pendaftaran sah, tiga warga Myanmar ditahan

12 Oct 2026 • 11:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot fiber tanpa pendaftaran sah, tiga warga Myanmar ditahan
Bot fiber bersama ketiga-tiga kru yang ditahan di perairan barat laut Pulau Pasir Hitam, Kuala Kurau pada Ahad dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

PARIT BUNTAR - Sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sah yang disyaki menggunakan peralatan menangkap ikan terlarang, bubu naga ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Pasir Hitam, Kuala Kurau di sini pada Ahad.

Dalam operasi kira-kira jam 10.50 pagi itu, tiga kru warga Myanmar turut ditahan selepas tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, bot berkenaan dikesan pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot fiber itu tidak mempunyai nombor pendaftaran sah dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu naga.

"Pemeriksaan lanjut terhadap tiga kru warga Myanmar pula mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bot fiber bersama ketiga-tiga kru dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan serta Akta Imigresen 1959/63 berkaitan dokumen pengenalan diri dan permit kerja," katanya.

Mohd Hairil berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang, penggunaan peralatan tangkapan terlarang serta pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved