
TAWAU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tiada kompromi terhadap isu keselamatan, khususnya berkaitan integriti kakitangan jabatan di bawahnya, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi.
Beliau mengulas laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah membanteras sindiket yang menyeludup PTI warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung, menerusi Ops Lancar.
Ruji berkata, hasil operasi itu, 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah itu telah ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau pada Khamis lepas, antaranya hasil maklumat awal seorang pengawal keselamatan warga Filipina yang ditahan di Lembah Klang tiga bulan lalu.
Beliau berkata lima pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Tawau turut ditahan pihak SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Ops Lancar dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) berjaya menahan lapan pendatang warga Filipina yang berjaya melepasi pemeriksaan untuk penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur.
“Enam pendatang didapati menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri, manakala dua orang lagi termasuk bayi berusia 21 bulan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek pembinaan pejabat dan rumah kediaman JPN Tawau di sini, Sabtu.
Ruji berkata, dalam Ops Lancar yang dijalankan serentak pada hari itu, pasukan operasi JPN dan SPRM menggeledah sebuah rumah transit sindiket di Bandar Seri Alam, Masai, Johor dan menahan sepasang suami isteri warganegara Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata risikan mendapati terdapat penglibatan ejen atau sindiket yang bergerak secara aktif selama dua hingga tiga tahun lalu, mengurus kemasukan pendatang tanpa izin Filipina dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan bayaran RM2,500 seorang.
Sindiket juga dipercayai menguruskan kemasukan warga Filipina yang pernah dikenakan tindakan undang-undang atas pelbagai kesalahan, katanya.
Katanya, susulan serbuan berkenaan, pasukan Ops Lancar bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat mengesan lokasi pemilik sebenar MyKad yang digunakan sindiket, dan tujuh pemilik MyKad ditahan di pelbagai lokasi untuk siasatan lanjut, dengan perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Tawau.
“Tangkapan susulan lain kita serah kepada pihak polis dan pasukan operasi, saya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan kerana siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara ini berulang,” katanya.
Kesemua kes itu, katanya, disiasat di bawah Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JPN akan bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kes pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri serta dokumen lain yang dikeluarkan jabatan, bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau juga menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan salah laku dan pemalsuan dokumen JPN dengan mengemukakan maklumat lanjut menerusi e-mel [email protected] atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) atau telefon 03-8880 7077.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
