PM dedah pegawai TUDM terlibat kes seludup dadah

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 9:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PM dedah pegawai TUDM terlibat kes seludup dadah

SHENZHEN – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan dadah dan rasuah melibatkan juruterbang dan anggota keselamatan termasuk pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegiatan itu merupakan perkara serius yang boleh menjejaskan keselamatan negara sekiranya tidak ditangani dengan tegas, tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu terlibat.

“Bagaimana kita harapkan negara ini boleh selamat kalau kita izinkan perkara ini? Jadi apabila kita tanya, dia kata ‘ada yang besar (berpangkat tinggi) pun ambil’.

“Ambil tindakan, jangan tolak ansur,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kes terbaharu yang melibatkan pegawai TUDM, termasuk berpangkat leftenan dan kapten serta juruterbang, selain orang awam.

Katanya, pihak polis dan tentera memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang terlibat, namun menegaskan beliau tidak mahu perkara itu berlarutan tanpa tindakan sewajarnya.

“Saya mengatakan dalam sidang media ini, saya akan keluarkan juga (dedahkan) kerana saya tidak mahu ada yang beranggapan sengaja kita lengah,” kata beliau.

Anwar berkata, tindakan tegas perlu diambil tanpa melindungi mana-mana individu atau menjaga imej sesebuah jabatan, memandangkan isu itu membabitkan kepentingan dan keselamatan negara.

“Bukan hendak selamatkan imej ataupun jabatan. Tidak. Hal ini satu perkara yang serius. Bayangkan… leftenan, kapten dan juga ada orang awam,” katanya.

Anwar turut memuji tindakan PDRM, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan penyeludupan dadah serta kumpulan jenayah terancang, termasuk sindiket yang sebelum ini dikenal pasti aktif.– Bernama

The post PM dedah pegawai TUDM terlibat kes seludup dadah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved