
GEORGE TOWN – Lima penghuni sebuah rumah di Jalan Merdeka di sini dilaporkan terselamat selepas kediaman mereka terbakar pagi tadi.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.29 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai tiba di lokasi pada pukul 10.37 pagi.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah Kelas B dengan anggaran 20 peratus kemusnahan.
“Penghuni terdiri daripada dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa warga tempatan serta seorang wanita Thailand telah berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian.
“PKO bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran. Operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal pada pukul 10.43 pagi sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan pengawasan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain.
Operasi yang melibatkan lapan anggota termasuk penyelia itu tamat pada pukul 11.57 pagi dan lokasi kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE
The post Lima penghuni terselamat rumah terbakar appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Bilik darjah SK Setia Alam terbakar](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/58a80fbc-5828-4eef-9e1a-8d26d5d095b1-1024x426.jpg)
