Lima rumusan baharu AI dibangunkan LGMS jadi pemacu pendapatan baharu – Mercury Securities

TechnologyBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 10:19 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lima rumusan baharu AI dibangunkan LGMS jadi pemacu pendapatan baharu – Mercury Securities Image from: Lima rumusan baharu AI dibangunkan LGMS jadi pemacu pendapatan baharu – Mercury Securities liza02/11/2026 - 10:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov – Lima rumusan keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan LGMS Berhad membuka ruang kepada syarikat itu mengembangkan perniagaan dalam pasaran yang semakin memerlukan perlindungan digital.

 

Namun Mercury Securities berkata cabaran kini terletak pada keupayaan menukarkan teknologi berkenaan kepada pelanggan dan sumber pendapatan baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata pengenalan teknologi itu mencerminkan langkah LGMS memperluaskan keupayaan dalam perkhidmatan keselamatan siber ketika penjenayah turut memanfaatkan AI untuk mengautomasikan serangan, mengenal pasti kelemahan sistem dan mendapatkan akses tanpa kebenaran.

 

“Ia berupaya memperluaskan portfolio perkhidmatan LGMS, selain membuka peluang jualan silang kepada pelanggan sedia ada serta menarik pelanggan baharu.

 

“Bagaimanapun, sumbangan teknologi berkenaan terhadap pendapatan syarikat masih bergantung kepada sejauh mana ia dapat diterima pasaran dan dikomersialkan yang perlu diperhatikan dalam menilai prospek pertumbuhan LGMS,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Lima rumusan AI sasar pelbagai ancaman siber

Lima rumusan yang diperkenalkan sempena LGMS AI Cybersecurity Summit itu terdiri daripada AI-driven Attack Surface Management (AISM), Shadow Password Exposure & Cyber Threat Analysis (SPECTA), LLM-assisted Static Application Security Testing (NOVA), AI & LLM Application Security Assessment (AVLLM) dan CoreGravity.

 

Ia merangkumi perlindungan pada beberapa peringkat serangan siber, bermula daripada mengenal pasti aset digital yang terdedah dan kata laluan yang dikompromi sehinggalah menilai kelemahan aplikasi serta mengesan cubaan pencerobohan.

 

Ancaman semakin kompleks tingkatkan keperluan keselamatan digital

Mercuri Securities berkata peluang LGMS dalam pasaran itu turut disokong peningkatan ancaman siber apabila penggunaan AI membolehkan penjenayah mengautomasikan serangan, mengenal pasti kelemahan sistem dan menceroboh rangkaian organisasi dengan lebih pantas.

 

Sebanyak 65% daripada pencerobohan siber yang disiasat berpunca daripada kelemahan aset dalam talian yang terdedah, diikuti kata laluan dicuri sebanyak 30% dan komputer dijangkiti sebanyak 5%.

 

Dari segi pengesanan pula, hanya 18% insiden dikenal pasti menggunakan peralatan keselamatan dalaman organisasi, manakala 47% dikesan melalui pihak luar dan 29% hanya diketahui selepas kerosakan berlaku.

 

Mercury Securities berpandangan perkembangan itu menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam keupayaan organisasi mengesan ancaman lebih awal, sekali gus menyokong permintaan jangka panjang terhadap perkhidmatan keselamatan siber LGMS, khususnya ketika lebih banyak perniagaan mempercepat pendigitalan dan penggunaan AI.

 

Pengkomersialan jadi penentu sumbangan kepada keuntungan

Walaupun lima rumusan itu memperluaskan keupayaan teknologi LGMS, Mercury Securities berpandangan sumbangan ketara terhadap pendapatan dan keuntungan syarikat bergantung kepada kadar penerimaan pelanggan serta kejayaan memasarkan perkhidmatan berkenaan.

 

Peluang lain yang dikenal pasti ialah peralihan kepada model pendapatan berulang berasaskan langganan, khususnya menerusi perkhidmatan pemantauan ancaman secara berterusan yang boleh mengurangkan kebergantungan LGMS kepada projek sekali sahaja.

 

Bagaimanapun, keuntungan dalam tempoh terdekat dijangka terus berdepan tekanan berikutan peningkatan perbelanjaan operasi (OPEX) berkaitan pelaburan AI serta kelewatan penyelesaian projek.

 

Pada masa sama, penggunaan AI dalam operasi dalaman berupaya mengurangkan tugasan berulang dan memakan masa, termasuk proses mengenal pasti kelemahan keselamatan aplikasi, sekali gus meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan keupayaan syarikat mengembangkan perkhidmatannya dalam jangka panjang.

 

Unjuran keuntungan dikekalkan, harga sasaran 49 sen

Dari sudut kewangan, Mercury Securities mengekalkan anggaran keuntungan bersih teras LGMS masing-masing sebanyak RM9.3 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) dan RM9.7 juta bagi FY2027, sementara hasil diunjurkan meningkat 4% kepada RM45.7 juta dan 11% kepada RM50.7 juta.

 

Anggaran itu berbanding hasil RM43.9 juta dan keuntungan bersih teras RM10.2 juta yang dicatatkan pada FY2025. Firma penyelidikan itu turut mengekalkan harga sasaran saham LGMS pada 49 sen berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 23 kali, berasaskan anggaran pendapatan sesaham FY2027 sebanyak 2.1 sen.

 

Mercury Securities mengulangi saranan 'Pegang' terhadap saham LGMS, mengambil kira penilaian saham semasa yang dianggap agak tinggi serta sumbangan pendapatan daripada lima rumusan AI baharu yang masih bergantung kepada kejayaan pengkomersialannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved