
PETALING JAYA – Penduduk di tiga daerah di Selangor iaitu Sepang, Kuala Langat dan Gombak diminta berwaspada susulan amaran banjir yang dijangka berlaku bermula pukul 4 petang tadi hingga 11.59 malam, Sabtu.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan, ramalan itu dibuat berdasarkan analisis data hidrologi serta model ramalan banjir pada pukul 10 pagi tadi.
Menurutnya, kawasan yang berisiko terjejas melibatkan lokasi rendah, kawasan panas banjir serta penempatan berhampiran lembangan Sungai Langat dan Sungai Selangor.
“Berdasarkan analisis data hidrologi dan model-model ramalan banjir oleh JPS pada 18 November 2026 jam 10 pagi, diramalkan kemungkinan banjir akan berlaku di kawasan-kawasan dalam lembangan sungai berikut.
“Terutamanya di kawasan panas banjir, kawasan rendah dan berisiko banjir di negeri Selangor,” menurut kenyataan hari ini.
Bagi daerah Sepang, kawasan yang berisiko adalah lokasi rendah dalam lingkungan lima kilometer (km) di sekitar lembangan Sungai Langat melibatkan Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan Persimpangan FT29/FT32.
Sementara itu, di Kuala Langat, kawasan yang dijangka terjejas termasuk Jalan Perepat, Taman Dato’ Hormat serta Kampung Sri Cheeding, khususnya di sekitar Jalan Bukit Kecil dan Jalan Desa 6 Kemandol.
Di Gombak pula, kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar lembangan Sungai Selangor turut berisiko mengalami banjir.
Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Kampung Cempedak, Kuang, Pekan Rawang, Jalan Maxwell dan Taman Rahmat Jaya.
Sehubungan itu, JPS menasihatkan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berisiko supaya meningkatkan kesiapsiagaan dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
Jelasnya, kejadian banjir yang diramalkan berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dinyatakan bergantung kepada keadaan semasa.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir menerusi portal rasmi Public InfoBanjir di http://publicinfobanjir.water.gov.my/. – KOSMO! ONLINE
The post Sepang, Kuala Langat, Gombak diramal banjir hingga Sabtu appeared first on Kosmo Online.






