Linda, Beego sah cerai kali ketiga

LocalEntertainment
30 Jul 2026 • 4:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Linda, Beego sah cerai kali ketiga

PETALING JAYA – Lebih setahun naik turun mahkamah, pasangan pelakon, Linda Hashim dan Beego sah bercerai buat kali ketiga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam Beego, Muhammad Akmal Amzan kepada Kosmo! Online yang menyatakan anak guamnya memang sudah bersedia melepaskan aktres terbabit.

“Sebenarnya dalam kamar mahkamah tadi, hakim lebih dahulu memutuskan permohonan pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda sebelum ini tidak sah.

“Jadi anak guam saya meminta saya teruskan dengan lafaz cerai kerana awalnya perceraian tertangguh kerana Linda turut memfailkan permohonan pengesahan lafaz taklik.

“Hari ini, keputusan permohonan dakwaan berhubung lafaz taklik terbabit tidak sah dan kedua-dua pihak masih lagi berstatus suami isteri. Jadi, bagi kes pengesahan lafaz taklik itu, mereka masih belum bercerai.

“Selepas itu Beego bersetuju menceraikan Linda secara baik dan sudah melafazkan talak satu buat kali ketiga. Cuma jangan salah faham. Ini bukan lafaz talak tiga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Muhammad Akmal Amzan turut menegaskan, perceraian kali ketiga ini juga menyebabkan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, dan Linda tidak lagi boleh rujuk.

Akuinya, perbicaraan yang berlangsung hari ini membabitkan dua prosiding iaitu pengesahan lafaz taklik sebelum diteruskan dengan tuntutan perceraian.

“Beego secara rela hati bersetuju untuk menceraikan Linda dengan baik. Mereka pernah bercerai sebanyak dua kali, kemudian rujuk, bercerai semula dan rujuk kembali.

“Hari ini adalah perceraian buat kali ketiga, jadi mereka tidak boleh rujuk,” katanya.

Terdahulu, kemelut dalam rumah tangga pasangan itu meraih tumpuan selepas naik turun mahkamah sejak awal tahun ini.

Mereka pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023, namun kembali rujuk pada 9 April tahun sama sebelum Linda mendakwa mereka sekali lagi bercerai dan sepakat untuk bersama semula tidak lama kemudian.

Menerusi laman sosial, tular video Beego dan Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, berbual di luar pekarangan mahkamah.

Linda dan Beego bergelar suami isteri pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak, Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7. – KOSMO! ONLINE

The post Linda, Beego sah cerai kali ketiga appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved