LINDUNG 24 Jam hasil libat urus pelbagai pihak sejak 2018 – MTUC

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 6:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: LINDUNG 24 Jam hasil libat urus pelbagai pihak sejak 2018 – MTUC

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan LINDUNG 24 Jam bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya hasil proses libat urus bersama pihak berkaitan termasuk wakil pekerja dan majikan sejak 2018.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, usaha memperluaskan perlindungan kepada kemalangan di luar waktu bekerja telah dibincangkan menerusi siri libat urus di 13 lokasi seluruh negara.

Katanya, proses berkenaan membabitkan lebih 1,400 peserta termasuk wakil pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan MTUC sendiri bagi mendapatkan pandangan mengenai keperluan serta pelaksanaan perlindungan berkenaan.

“Saya sendiri yang menganggotai Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai wakil pekerja sejak 2005 turut terlibat dalam perbincangan bersama Perkeso ketika konsep dan pelaksanaan skim itu diperincikan.

“Fakta ini menunjukkan bahawa LINDUNG 24 Jam bukan keputusan sepihak Perkeso sebaliknya hasil proses penelitian dan libat urus yang panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, skim berkenaan penting bagi menutup jurang perlindungan kerana kemalangan tidak hanya berlaku ketika seseorang sedang bekerja, malah boleh berlaku ketika berada di rumah, bersama keluarga, bersukan atau menjalankan urusan harian.

Katanya, kemalangan di luar waktu bekerja juga boleh menyebabkan pekerja kehilangan keupayaan untuk bekerja dan seterusnya menjejaskan pendapatan serta kehidupan keluarga.

“Penyertaan pekerja tempatan secara sukarela menunjukkan pandangan masyarakat turut diambil kira, namun pekerja perlu diberikan penerangan yang lengkap mengenai caruman, manfaat perlindungan dan risiko sekiranya memilih untuk tidak menyertainya.

“Sebarang perbezaan pandangan berhubung kadar caruman atau pelaksanaan LINDUNG 24 Jam masih boleh dibincangkan menerusi saluran dialog tanpa menafikan kepentingan perlindungan tersebut kepada pekerja dan keluarga,” katanya.- UTUSAN

The post LINDUNG 24 Jam hasil libat urus pelbagai pihak sejak 2018 – MTUC appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved