Kecoh dakwaan Tun M ‘disisih’ pada Hari Kebangsaan, ini respon rasmi Urus Setia

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 8:58 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Kecoh dakwaan Tun M ‘disisih’ pada Hari Kebangsaan, ini respon rasmi Urus Setia

KUALA LUMPUR - Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menegaskan bahawa jemputan ke majlis sambutan rasmi Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mana-mana mantan Perdana Menteri, berdasarkan amalan yang telah ditetapkan sejak tahun 2018.

Penjelasan tersebut dikeluarkan berikutan timbulnya desas-desus dan dakwaan di media sosial mengenai kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kelihatan seolah-olah 'tersisih' atau tidak mendapat tempat rasmi sewaktu menghadiri perarakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pagi semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah, semua prosedur dan tatacara pengurusan jemputan rasmi Kerajaan Persekutuan diuruskan di bawah Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri.

"Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan," jelas beliau.

Selain itu, pihak Urus Setia turut mengesahkan bahawa mereka sebelum ini telah menerima makluman berhubung jadual perjalanan bekas pemimpin negara berkenaan.

"Pada masa sama, pihak Urus Setia turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa YABhg. Tun Dr Mahathir akan ke luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026 berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan oleh YAB Perdana Menteri, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237]," tambahnya lagi.

Terdahulu, tular beberapa rakaman gambar dan klip video di platform media sosial yang menunjukkan suasana sewaktu perarakan Hari Kebangsaan, di mana kehadiran Tun Dr. Mahathir menarik perhatian orang ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi berkenaan protokol dan kedudukan tempat duduk beliau.

Pihak Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dalam pada itu merakamkan penghargaan atas perhatian, keprihatinan, serta kefahaman yang ditunjukkan oleh semua pihak berhubung isu tatacara jemputan tersebut. - 1 September, 2026

The post Kecoh dakwaan Tun M ‘disisih’ pada Hari Kebangsaan, ini respon rasmi Urus Setia appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved