Lindung 24 Jam menyeluruh, pekerja lebih terjamin

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 4:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lindung 24 Jam menyeluruh, pekerja lebih terjamin

Kota Kinabalu: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Syarikat-Syarikat Pelabuhan Sabah (KKPPSSPS) menyatakan sokongan tegas terhadap pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Skim Lindung 24 Jam, yang dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan sosial dan kebajikan pekerja di negara ini.

Presiden KKPPSSPS Mohd Airy Arin berkata perlindungan terhadap pekerja tidak seharusnya terhenti apabila waktu bekerja tamat kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Beliau berkata tambahan caruman sebanyak 0.75 peratus wajar dilihat sebagai pelaburan untuk masa depan pekerja dan keluarga, bukannya semata-mata tambahan kepada kos caruman.

“KKPPSSPS berpandangan bahawa perlindungan pekerja perlu mengambil kira realiti kehidupan seharian. Pekerja bukan hanya berdepan risiko ketika berada di tempat kerja, tetapi turut terdedah kepada pelbagai risiko selepas waktu bekerja.

“Justeru, Skim Lindung 24 Jam memberikan bentuk perlindungan yang lebih menyeluruh dan pada masa sama dapat mengurangkan beban kewangan pekerja serta keluarga apabila berlaku musibah,” katanya.

Mohd Airy berkata bagi golongan pekerja, khususnya mereka yang menjadi pencari nafkah utama keluarga, sesuatu kemalangan boleh memberi kesan besar terhadap pendapatan, keperluan harian serta masa depan keluarga.

Katanya, keadaan menjadi lebih mencabar sekiranya seseorang pekerja mengalami kecederaan atau kehilangan keupayaan untuk bekerja akibat kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja tetapi tidak mendapat perlindungan sewajarnya.

“Kita tidak boleh hanya bercakap mengenai produktiviti pekerja tanpa memastikan kebajikan dan perlindungan mereka turut diberi keutamaan. Pekerja merupakan aset penting kepada negara dan mereka berhak mendapat jaringan perlindungan sosial yang sewajarnya,” tegas beliau.

Beliau berkata tambahan caruman sebanyak 0.75 peratus perlu dilihat berdasarkan nilai perlindungan yang diterima dalam jangka panjang.

“Jika dibandingkan dengan risiko dan kemungkinan beban kewangan yang perlu ditanggung oleh pekerja dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan, tambahan caruman ini adalah munasabah.

“Yang kita utamakan ialah jaminan perlindungan dan kesejahteraan pekerja serta keluarga mereka. Kita tidak mahu sebuah keluarga kehilangan sumber pendapatan dan pada masa sama terpaksa menanggung beban kewangan yang besar hanya kerana kemalangan berlaku di luar waktu kerja,” katanya.

“Kesatuan sekerja akan terus memainkan peranan dalam memastikan kepentingan dan kebajikan pekerja tidak diketepikan. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam benar-benar memberi manfaat kepada golongan pekerja,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa KKPPSSPS akan terus menyokong usaha yang membawa kepada peningkatan kebajikan, keselamatan dan perlindungan sosial pekerja.

“Bagi KKPPSSPS, perlindungan pekerja bukan sekadar soal caruman, tetapi soal maruah, kebajikan dan masa depan sebuah keluarga. Apabila pekerja dilindungi, keluarga lebih terjamin dan masyarakat turut mendapat manfaat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved