
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Lindung 24 Jam tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya ditambah baik bagi memastikan pekerja mempunyai perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata Lindung 24 Jam, merupakan reformasi penting dalam merapatkan jurang perlindungan yang sebelum ini dihadapi pekerja, sekiranya ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan secara langsung dengan pekerjaan.
Beliau berkata, sebelum pelaksanaan skim itu, kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan pada asasnya tidak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja, menyebabkan sebahagian pekerja yang mengalami kemalangan termasuk hilang upaya kekal tidak mendapat perlindungan sewajarnya.
“Berdasarkan pemerhatian UNI-MLC melalui perwakilan kami yang terlibat dalam Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS), daripada sejumlah rayuan yang dikemukakan, hanya sebahagian kecil, dianggarkan satu atau dua daripada setiap 20 kes, yang boleh diluluskan kerana mempunyai kaitan dengan Bencana Kerja.
“Selebihnya tidak memenuhi syarat kelayakan di bawah peruntukan sedia ada. Namun, mereka tetap merupakan pekerja yang mengalami kemalangan dan ada antaranya mengalami hilang upaya kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Shafie berkata, keadaan itu boleh memberi kesan besar kepada kehidupan pekerja dan keluarga, termasuk kehilangan pendapatan, ketidakupayaan untuk meneruskan pekerjaan serta kehilangan sumber pendapatan utama keluarga.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata UNI-MLC berpandangan pekerja memerlukan skim perlindungan bagi kemalangan bukan bencana kerja yang lebih menyeluruh, termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal dan Faedah Orang Tanggungan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Mengenai caruman, beliau berkata UNI-MLC menyedari kadar penuh 1.25 peratus daripada gaji dengan siling gaji RM6,000, memberi implikasi kepada pendapatan pekerja, namun menyokong pelaksanaan secara berfasa.
“Fasa pertama ialah 0.75 peratus bermula Jun 2026, diikuti satu peratus bermula Jun 2028 dan 1.25 peratus bermula Jun 2031,” katanya.
Beliau berkata dalam tempoh berkenaan, terdapat ruang untuk kerajaan menilai semula kadar gaji minimum kebangsaan daripada paras semasa RM1,700 kepada struktur gaji yang lebih baik bagi membantu mengurangkan tekanan akibat peningkatan caruman berkanun.
Mohamed Shafie berkata gesaan supaya kutipan caruman dihentikan bukan penyelesaian kerana ia berisiko membuka semula jurang perlindungan yang cuba ditangani menerusi Lindung 24 Jam.
“Sekiranya kadar caruman perlu dikaji semula atau mekanisme perkongsian caruman antara pekerja dan majikan mahu dipertimbangkan, perkara tersebut boleh dibincangkan melalui proses libat urus yang sewajarnya,” katanya.
Beliau menyeru kerajaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), majikan dan wakil pekerja kembali ke meja perbincangan bagi menilai aspek kadar caruman, mekanisme pembiayaan, tahap faedah dan kaedah pelaksanaan skim.- BERNAMA
The post Lindung 24 Jam perlu ditambah baik, bukan dimansuhkan appeared first on Utusan Malaysia.






