Berapakah usia PC paling tua masih disimpan oleh anda? Saya masih menyimpan PC pertama dengan cip Cyrix dan 32MB RAM yang dibeli pada tahun 1998. Pada tahun tersebut cip Intel 486 (i486) pun sudah berusia 9 tahun. Sungguhpun begitu, cip yang mencapai status legenda ini masih disokong sistem operasi Linux. Tetapi bermula dengan kernel Linux 7.1, ia akan akhirnya dihentikan.

Linus Torvalds sendiri telah menyatakan bahawa terdapat “sifar sebab” untuk mengekalkan sokongan CPU i486. Mengekalkan sokongan perkakasan lama ini hanya mengganggu pembangunan kernel moden kerana kod keserasian untuk CPU lama ini rumit dan kadang-kadang menyebabkan masalah yang memakan masa pembangun. Walaupun dilancarkan pada dekad 80an, pengeluaran i486 hanya dihentikan pada tahun 2007.
Bagi yang masih ingin menggunakan i486, mereka boleh terus menggunakan kernel LTS sedia ada. Cip i486 ini menerima status legenda kerana ia yang pertama mempunyai 1 juta transistor (1.2 juta transistor kesemuanya) dan dipasarkan menggunakan slogan terkenal Intel Inside. Ia membuka era PC Intel digunakan untuk multimedia serta permainan video yang sekaligus menjadi batu asas kepada pelancaran siri Intel Pentium pada tahun 1993.



