Liong Sik pembina negara, penyatu masyarakat - Presiden MCA

LocalPolitics
4 Apr 2026 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ka Siong (kanan) menyifatkan mendiang Liong Sik sebagai tokoh pembina negara dan penyatu masyarakat menerusi institusi pendidikan.
image is not available
Liong Sik menjadi Presiden ke enam MCA ketika berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan politik.

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan mendiang Tun Dr Ling Liong Sik sebagai tokoh pembina negara dan penyatu masyarakat menerusi institusi pendidikan.

Ka Siong berkata, kehidupan negarawan yang awalnya sebagai doktor perubatan memilih mengangkat suara rakyat dengan menceburi bidang politik berikutan komitmen tokoh itu yang dibentuk dengan nilai ketabahan, kecerdasan dan rasa tanggungjawab.

"Seperti yang pernah beliau ungkapkan, jika perubatan menyembuhkan satu nyawa pada satu masa, perkhidmatan awam pula berupaya mengangkat kehidupan jutaan rakyat.

"Justeru itu, kerjaya politik Liong Sik yang dicorakkan oleh keberanian, kejelasan pemikiran, dan kepimpinan beliau yang luar biasa meningkat dengan pantas dalam MCA seterusnya menjadi Presiden ke-6 parti pada waktu ketidaktentuan ekonomi dan politik.

"Dengan keazaman yang kuat, beliau memimpin parti dan masyarakat berdepan krisis, menyelesaikan pelbagai cabaran, serta memulihkan perpaduan malah memperkukuhkan kedudukan masyarakat Cina dalam kerangka nasional yang lebih luas," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

**media[3481712]**

Ka Siong berkata, Liong Sik memainkan peranan penting dalam memodenkan infrastruktur negara dengan menyelia pembangunan projek-projek utama yang meningkatkan sistem penerbangan, pelabuhan dan rel ke tahap antarabangsa ketika bertugas sebagai Menteri Pengangkutan tahun 1986.

Tambah beliau, tokoh veteran politik itu juga percaya bahawa pendidikan adalah jalan ke arah pemeliharaan maruah, kemajuan dan peluang hingga menjadi teras utama misi MCA.

"Beliau memperkukuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman yang kini dikenali sebagai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) dengan menjadikannya sebuah institusi bertaraf nasional yang membuka peluang kepada puluhan ribu pelajar setiap tahun.

"Lebih penting lagi, beliau merealisasikan impian masyarakat iaitu penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang merupakan detik bersejarah dalam landskap pendidikan negara, sekali gus menjadi institusi unggul membentuk generasi selepas dilancarkan tahun 2002," ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Ayer Hitam turut menyifatkan visi pendidikan mendiang melangkaui institusi dan memperkukuh asas modal insan negara.

"Walaupun selepas bersara daripada politik, dedikasi beliau tidak pernah luntur apabila terus menumpukan usaha dalam memajukan pendidikan, memastikan visinya kekal berterusan melangkaui tempoh perkhidmatannya.

"Liong Sik bukan sekadar seorang pemimpin, legasinya akan terus hidup melalui institusi yang dibinanya, dasar yang digubalnya, dan kehidupan yang dilaluinya," ujar beliau.

Sebagai tanda penghormatan tertinggi, Ka Siong telah mengarahkan agar bendera parti dikibarkan separuh tiang di semua pejabat MCA di seluruh negara bagi mengenang seorang pemimpin parti yang legasinya akan terpahat selamanya dalam sejarah.