
Pelakon dan penyanyi Taiwan, Vivian Hsu berkongsi pengalaman terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku di Bukit Timah, Singapura beberapa hari lalu.
Dalam hantaran di Instagramnya, Vivian, 49, dalam perjalanan untuk membelikan makanan untuk anak lelakinya, Dalton, 9, selepas bertemu beberapa kenalannya di sebuah kafe.
"Saya keluar seperti biasa, hujan turun pun seperti biasa. Saya merancang untuk membelikan makanan untuk anak lelaki saya di Din Tai Fung (kedai francais Taiwan) selepas keluar bertemu kenalan saya di sebuah kafe.
"Tiba-tiba hujan mencurah dengan lebat dan air banjir naik mendadak hampir memasuki pintu kereta saya.
"Saya nampak lipas dan cicak mencari perlindungan di pintu kereta saya," tulisnya menerusi hantaran di media sosial.
Vivian menuju ke keretanya biarpun dalam keadaan basah-kuyup.
"Saya terperangkap di tengah-tengah jalan selepas memandu kereta keluar," tambahnya yang pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan kelahiran Singapura, Sean Lee.





