
PADANG BESAR: Kerajaan negeri berhasrat membangunkan sebuah ekosistem sukan permotoran yang tersusun, selamat dan profesional menerusi pembinaan Litar ESR Dragway Perlis bernilai RM20 juta di Chuping.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, beliau berharap pengalaman ESR Motor dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bersama Perlis Holdings Sdn Bhd (PHSB) bagi memastikan litar itu mampu memenuhi keperluan penggiat sukan permotoran.
Beliau berkata, dalam masa sama, pembangunan litar itu juga diharap dapat menjadi platform untuk mencungkil dan membangunkan bakat-bakat baharu dalam sukan itu.
“Kita mahu mereka bukan sekadar menjadi penonton. Kita mahu mereka berpeluang menjadi pelumba, mekanik, juruteknik, jurutera, pengurus pasukan dan tenaga profesional dalam industri permotoran.
“Pada masa yang sama, kita berharap kemudahan seperti ini dapat menyediakan alternatif yang lebih selamat kepada anak- anak muda daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram di jalan raya,” katanya semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Litar ESR Dragway Perlis, di sini, hari ini.
Sebagai rekod, projek pembangunan litar itu adalah merupakan hasil kerjasama strategik antara PHSB yang merupakan subsidiari kepada Menteri Besar Incorporation (MBI) Perlis dengan pihak ESR Motor.
Projek ini melibatkan kos pembangunan bernilai RM20 juta di kawasan seluas kira-kira 30 ekar, dengan laluan lurus sepanjang kira-kira 1.3 kilometer dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Abu Bakar berkata, menerusi pembangunan litar itu, kerajaan negeri juga melihat potensi besar dalam bidang pelancongan sukan khususnya dengan kedudukan Perlis sebagai negeri sempadan yang memberikan kelebihan tersendiri.
“Kita mahu peminat permotoran dari negeri-negeri lain, termasuk dari Thailand, datang ke Perlis untuk menyertai pertandingan atau menyaksikan acara. Apabila mereka datang, mereka bukan sahaja menggunakan litar, mereka akan menginap di hotel, makan di restoran, membeli-belah, menggunakan perkhidmatan tempatan dan berbelanja dalam ekonomi negeri,” katanya.
Katanya, melalui pelaksanaan ini, kerajaan negeri berhasrat agar setiap pembangunan yang melibatkan aset dan kepentingan negeri seharusnya memberikan nilai tambah kepada rakyat.
“Kita bukan hanya mahu melihat sebuah projek siap dari segi fizikal tetapi kita mahu melihat aktiviti ekonomi berkembang dari segi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan peniaga tempatan dan Perlis mempunyai satu lagi produk yang mampu menarik pengunjung serta pelaburan dari luar,” katanya.-UTUSAN
The post Litar ESR Dragway lonjak ekosistem sukan permotoran di Perlis appeared first on Utusan Malaysia.



