
SUBANG JAYA – Tindakan seorang individu membuat siaran langsung menerusi TikTok membawa kepada penemuan 21 botol berisi cecair disyaki air ketum di sebuah rumah di Kampung Sri Langkas, Puchong Permai, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 8.45 malam.
Katanya, maklumat yang disalurkan adalah mengenai beberapa botol berisi cecair dilihat ketika individu itu sedang membuat siaran langsung di platform tersebut.
Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Puchong bergegas ke lokasi kira-kira pukul 9 malam.
“Pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Langkas Tambahan, Jalan Andalas Utama, Puchong.
“Ketika polis tiba, didapati tiada individu berada di dalam rumah berkenaan. Hasil pemeriksaan menemukan sebuah bekas plastik bertutup warna kuning yang mengandungi 21 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum,” katanya.
Wan Azlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE
The post Live TikTok bongkar 21 botol disyaki air ketum dalam rumah kosong appeared first on Kosmo Online.






