LKM dah ‘expired’, tiada insurans punca motosikal abang Foodpanda disita JPJ

13 Sep 2023 • 3:51 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Hari ini, kecoh mengenai sebuah video tular yang memaparkan seorang penghantar makanan berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran makanan setelah motosikal abang Foodpanda itu disita JPJ.

Tindakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita motorsikal yang ditunggang oleh individu terbabit telah mengundang perasaan marah dan tidak puas hati orang ramai dan disifatkan tindakan tersebut tidak berperikemanusiaan.

Motosikal abang Foodpanda disita JPJ LKM dah ‘expired’ dan tiada insurans

Terbaharu, JPJ Negeri Sembilan menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan tindakan menyita motosikal penghantar makanan itu adalah selepas mendapati individu terbabit melakukan beberapa kesalahan.

JPJ berkata, pihak mereka melakukan tindakan tersebut kerana individu terbabit menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LM) telah tamat tempoh dan tiada insurans.

“Pada 12 September 2023, Unit Operasi JPJ Negeri Sembilan telah mengadakan Operasi Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Sepanjang penguatkuasaan tersebut, pelbagai kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan termasuk juga motosikal yang ditunggang oleh pekerja Food Panda tersebut yang melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans,”menurut kenyataan.

image is not available

Sita demi keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain

Tambahnya lagi, tindakan tersebut dilakukan atas tujuan untuk menjaga keselamatan penunggang motosikal tersebut selain pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan yang tidak diingini.

“Tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans,” jelas kenyataan.

Tegas JPJ, pihak mereka sentiasa memandang serius terhadap kesalahan-kesalahan lalu lintas yang dilakukan terutama mereka yang mengabaikan undang-undang atau peraturan yang telah ditetapkan.

image is not available

Dah ‘expired’ sejak bulan Februari

Sementara itu, JPJ dalam ruangan komen di sebuah hantaran Facebook milik Bujang Kartun memaklumkan LKM dan insurans milik motosikal terbabit telah tamat tempoh sejak 6 Februari 2023.

image is not available

Sekadar info, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Malah, tindakan itu akan dikuatkuasakan jika ia melibatkan pelbagai seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan menunggang motosikal secara berbahaya.

Sumber: FB Bujang Kartun, Utusan Online (Badrul Hafizan Mat Isa)