Loji Kasigui mula salur air terawat

LocalEnvironment
5 Jul 2025 • 9:09 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

PUTATAN: Loji Rawatan Air Kasigui yang baharu mula menghasilkan air terawat secara berperingkat sejak 26 Jun lalu dan dijangka membantu menstabilkan tekanan bekalan air di Putatan dan Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya (gambar), berkata loji itu kini beroperasi hampir pada kapasiti penuh selepas mencapai kemajuan kerja sebanyak 98 peratus.

“Pada 26 Jun lalu, loji ini mula menghasilkan antara 1 hingga 2.5 juta liter air sehari dan jumlah itu meningkat secara berperingkat. Menjelang 30 Jun, ia telah mencapai kapasiti penuh lima juta liter sehari seperti yang direka bentuk,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Putatan 1447H/2025M di Dewan Sri Putatan, pada Jumaat.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Menurutnya, Jabatan Air Negeri Sabah kini sedang melaksanakan proses penstabilan tekanan air di Putatan dan juga Kota Kinabalu, dengan maklum balas awal menunjukkan tekanan semakin pulih, khususnya di Putatan.

“Saya berharap ia akan terus konsisten dalam seminggu atau dua minggu lagi dan berterusan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahelmey berkata gangguan bekalan air yang dialami di beberapa kawasan di Kota Kinabalu, baru-baru ini, disebabkan kerosakan pada loji lama Kasigui, namun kerja pembaikan telahpun diselesaikan.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerja pemasangan paip Telibong 2 Fasa dua dijangka siap selewat-lewatnya awal minggu hadapan bergantung kepada keadaan cuaca, dan ini akan menyumbang kepada peningkatan bekalan air di kawasan terjejas.

“Apabila paip ini siap, lebih banyak air dari Loji Telibong 2 dapat disalurkan. Kita jangka dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, tekanan air di Putatan, Kota Kinabalu dan Sepanggar akan kembali stabil,” jelasnya.

Terdahulu, Shahelmey merasmikan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat daerah yang turut diisi dengan pertandingan kesenian Islam seperti kompang, nasyid dan marhaban yang berlangsung selama dua hari.

Hadir sama, isterinya Datin Dayang Siti Noor Hayyat Awang Mohd Saufi, Adun Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari serta Pegawai Daerah Putatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program, Masawi Salleh.