Usaha atasi masalah air Sabah

LocalPolitics
29 Jun 2025 • 11:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Ricardo Unto

USAHA Sabah mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui strategi yang disasarkan untuk memenuhi keperluan bekalan air negeri ini sekurang-kurangnya sehingga tahun 2050 kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau berkata Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) telah merangka pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menyelesaikan isu ini secara beransur-ansur menambah keseluruhan usaha itu memerlukan pembiayaan besar.

“Penyelesaian isu bekalan air di Sabah adalah proses berterusan yang memerlukan sumber kewangan yang signifikan,” katanya sambil menegaskan pendekatan berfasa itu penting bagi memastikan kelestarian dan ketahanan infrastruktur.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Shahelmey berkata masalah kekurangan air terawat dijangka tidak akan dapat dikurangkan dengan ketara sehingga beberapa projek bekalan air jangka panjang siap sepenuhnya bagi memastikan bekalan konsisten melebihi 2050.

Beliau mengambil maklum kekecewaan orang ramai terhadap isu bekalan air dan jalan raya tetapi mengingatkan agar rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan asas ini tidak dijadikan sebagai alat politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

“Ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan berkaitan keperluan awam tidak sepatutnya dijadikan kayu ukur politik,” katanya menambah projek infrastruktur awam dilaksanakan secara berterusan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah ia tanggungjawab setiap agensi pelaksana untuk menyelesaikan isu kemudahan awam seperti bekalan air dan jalan raya secara sistematik dan berterusan.

Shahelmey mengenal pasti dua faktor utama yang menyumbang kepada cabaran bekalan air di Sabah – permintaan yang semakin meningkat melebihi kapasiti pengeluaran dan kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi akibat kebocoran dan sambungan haram.

“Kekurangan dan ketidakcukupan bekalan air di Sabah berpunca daripada dua faktor utama: Permintaan melebihi kapasiti pengeluaran sedia ada dan kadar air tidak berhasil yang tinggi di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata Jans sedang menangani masalah ini melalui pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada, pengesanan dan pembaikan kebocoran paip aktif serta penggantian paip lama.

Selain itu, katanya sambungan haram turut menjadi sasaran operasi penguatkuasaan terutamanya di kawasan berisiko tinggi di mana kes seumpama itu kerap berlaku.

Jabatan itu juga melaksanakan penggantian paip lama dan terdedah secara selektif mengikut keutamaan dan keperluan khusus kawasan.

Lima projek utama bekalan air kini sedang berjalan melibatkan empat LRA dan satu empangan yang bertujuan meningkatkan bekalan di beberapa daerah penting di Sabah.

Shahelmey berkata projek Loji Rawatan Air Telibong II Fasa 2 di Tuaran yang akan menggandakan kapasiti loji itu daripada 80 juta liter sehari (MLD) kepada 160MLD kini telah siap 88 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Julai tahun ini.

Projek peluasan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar kini siap 37 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang Julai 2026 termasuk infrastruktur saluran paip sokongan dan penyimpanan.

Sementara itu,Fasa 1 projek naik taraf Sistem Bekalan Air Lahad Datu dengan kapasiti 60 MLD juga telah siap 88 peratus dan dijangka siap menjelang Julai 2026.

Beliau berkata LRA Mamut berkapasiti 5 MLD di Ranau yang akan menyokong pertumbuhan penduduk di daerah tersebut hampir siap pada tahap 95 peratus dan dijangka mula beroperasi pada Disember tahun ini.

Di Tawau pembinaan Empangan Tawau dengan kapasiti 30 juta meter padu telah mencapai 53 peratus dan dijangka siap pada Julai 2026 sekali gus menambah rizab air yang signifikan untuk daerah itu.

Shahelmey berkata kemudahan-kemudahan yang siap kelak dijangka mampu memenuhi keperluan air di daerah masing-masing untuk tempoh terdekat walaupun kadar pembangunan setempat boleh mempengaruhi permintaan di masa hadapan.

“Apabila pembinaan dan naik taraf loji rawatan air ini selesai bekalan air di Sabah dijangka mencukupi untuk memenuhi permintaan di kawasan terlibat bagi beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau menambah walaupun unjuran semasa menunjukkan peningkatan kapasiti perancangan masih perlu kekal fleksibel untuk menampung perubahan demografi dan pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Mengenai penyelesaian alternatif bekalan air beliau berkata pihak jabatan sedang mengkaji kemungkinan penggunaan takungan pesisir sebagai pilihan di kawasan yang tidak lagi sesuai untuk empangan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa walaupun takungan pesisir boleh dilaksanakan secara prinsip ia mempunyai cabaran operasi jangka panjang berikutan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.

“Cadangan untuk membina takungan pesisir masih dalam pertimbangan Jans,” katanya.

Shahelmey turut mengesahkan bahawa penggunaan sumber air bawah tanah masih dalam perancangan namun menekankan bahawa ia bergantung kepada ketersediaan dan kelestarian rizab air bawah tanah di kawasan yang dicadangkan.

“Sumber air bawah tanah adalah antara pilihan yang sedang dipertimbangkan tetapi tahap kebolehannya bergantung kepada keadaan tapak dan jumlah rizab air bawah tanah,” katanya.

Beliau menambah bahawa penilaian tapak secara menyeluruh diperlukan sebelum sebarang rancangan pengambilan air bawah tanah dapat dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi alam sekitar dan teknikal.

RM300j peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak mencukupi bagi rancangan jangka panjang

PERUNTUKAN sebanyak RM300 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah air di Sabah adalah tidak mencukupi bagi melaksanakan sepenuhnya pelan tindakan jangka panjang negeri, kata Shahelmey.

Beliau berkata dana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu itu hanya merangkumi langkah-langkah jangka pendek yang dicadangkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) dan bukan satu penyelesaian menyeluruh.

“Peruntukan RM300 juta ini... hanya meliputi sebahagian daripada pelan tindakan asal dan terhad kepada penyelesaian jangka pendek,” kata Shahelmey menjawab soalan sama ada negeri perlu sekali lagi campur tangan seperti yang dilakukan semasa bantahan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau menjelaskan bahawa sejumlah besar peralatan mekanikal dan elektrik perlu dibaiki atau diganti untuk mengelakkan gangguan bekalan selanjutnya yang seterusnya memerlukan belanjawan operasi yang besar.

“Kerja-kerja penggantian perlu dijalankan secara berterusan dan memerlukan belanjawan operasi yang besar,” katanya sambil menyatakan usaha menangani isu air dikekang oleh pembiayaan.

Shahelmey menambah bahawa jabatan itu telah mewujudkan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menaik taraf bekalan air di seluruh Sabah tetapi pelaksanaan telah dihalang oleh sumber kewangan yang terhad.

“Jans merekodkan lebih 90 peratus prestasi perbelanjaan bagi setiap belanjawan yang diperuntukkan setiap tahun.

“tetapi disebabkan kekangan kewangan dan peruntukan terhad, tidak semua rancangan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan terpaksa dibuat secara berperingkat.” katanya.

Katanya RM300 juta yang diumumkan sebelum ini tidak termasuk peruntukan untuk UMS dan tidak disalurkan melalui kerajaan negeri sebaliknya terus kepada universiti.

RM300 juta untuk Jans jelasnya adalah dalam bentuk pinjaman persekutuan dan merupakan sebahagian daripada program jangka pendek untuk pelbagai daerah selain daripada keperluan air universiti.

“Pada dasarnya peruntukan RM300 juta oleh kerajaan Persekutuan tidak ada kaitan dengan UMS,” katanya.

Shahelmey berkata jumlah kos semua program bekalan air oleh Jans di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 direka untuk tempoh lima tahun dan melibatkan kedua-dua peruntukan negeri dan Persekutuan.

Beliau enggan memberikan anggaran khusus mengenai jumlah keseluruhan yang diperlukan untuk 2025 sahaja sebaliknya menyatakan bahawa menyelesaikan isu itu memerlukan pembiayaan berterusan untuk mengekalkan penyelenggaraan sistem dan mencegah kerosakan yang lebih teruk.

Mengenai pembatalan kontrak air yang lalu beliau berkata Jans dibiarkan tanpa kakitangan atau pengendali mahir untuk mengambil alih operasi loji yang terjejas berikutan penamatan mendadak perjanjian oleh pentadbiran terdahulu.

“Bagi Jans impak segera adalah ketiadaan kakitangan atau pekerja mahir untuk mengambil alih operasi loji terbabit,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa masalah di daerah seperti Kudat dan Sandakan berpunca daripada pelbagai faktor termasuk penamatan kontrak dan cabaran operasi dan alam sekitar yang lain.

“Isu bekalan air di Kudat dan Sandakan berpunca daripada pelbagai faktor termasuk penamatan syarikat konsesi secara langsung atau tidak langsung selain daripada isu teknikal dan pencemaran air mentah,” katanya.