liza05/08/2026 - 18:04 India - Gambar AFP/Getty Images Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Kelington Group Berhad akan melabur kira-kira RM120 juta bagi membangunkan sebuah loji pengeluaran gas industri menggunakan teknologi pemisahan udara (Air Separation Unit - ASU) di Maharashtra, India.
Pelaburan itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ace Gases Technologies Private Limited (AGTI) untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran gas cecair bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.
Menurut Kelington, loji ASU itu akan menghasilkan tiga gas utama iaitu oksigen, nitrogen dan argon melalui teknologi pemisahan udara, sebelum dibekalkan kepada pelbagai sektor seperti semikonduktor, elektronik, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, automotif, kimia, pemprosesan makanan, kejuruteraan dan pembuatan.
“Projek itu bukan sahaja merangkumi pembinaan loji, malah melibatkan pembangunan kemudahan sokongan termasuk utiliti, storan serta sistem pengedaran bagi memastikan bekalan gas industri dapat dihantar kepada pelanggan dengan lebih cekap.
“Apabila siap kelak, loji tersebut dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran kumpulan, mengukuhkan keupayaan operasi serta memperluaskan keupayaan memenuhi permintaan gas industri yang semakin meningkat di India,” katanya.
Strategi Perkukuh Kedudukan Di Pasaran India
Loji itu akan dibina di kawasan perindustrian Addl. Dindori, Maharashtra di atas tanah seluas kira-kira 20,000 meter persegi yang dipajak selama 95 tahun daripada Maharashtra Industrial Development Corporation (MIDC), iaitu agensi pembangunan perindustrian kerajaan negeri Maharashtra.
AGTI menerima surat tawaran pajakan tanah itu pada 4 Ogos 2026 dan mempunyai pilihan untuk memperbaharui tempoh pajakan bagi 95 tahun lagi, tertakluk kepada syarat serta bayaran premium yang akan ditetapkan oleh MIDC pada masa hadapan.
Pembinaan projek dijadualkan bermula pada Ogos 2026 dan disasarkan siap pada suku ketiga 2028, tertakluk kepada semua kelulusan, lesen, permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan di India.
Menurut Kelington, lokasi strategik loji itu dijangka memberi kelebihan dari segi logistik kerana membolehkan syarikat membekalkan gas industri dengan lebih cekap kepada pelanggan di kawasan perindustrian utama di Maharashtra serta wilayah berhampiran.
AGTI ditubuhkan di India pada 24 Julai 2024 dan menjalankan aktiviti pembinaan serta pembuatan sistem dan kemudahan penghantaran gas, selain terlibat dalam pengeluaran, pengedaran, pembekalan, import serta perdagangan gas industri.
Jana Pendapatan Berulang Dan Perluas Operasi Global
Kelington berkata, India mempunyai potensi pasaran yang sangat besar dan pelaburan itu merupakan sebahagian daripada strategi global syarikat untuk memperluaskan operasi di luar negara serta meneroka sumber pertumbuhan baharu.
“Pembangunan projek itu akan mengembangkan jejak pengeluaran gas industri kumpulan di India, di samping meningkatkan pendapatan berulang menerusi jualan gas industri kepada pelbagai pelanggan serta memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang yang lebih baik.
“Selain itu, pelaburan berkenaan dijangka mengukuhkan prestasi kewangan syarikat menerusi kepelbagaian pasaran geografi, memanfaatkan pertumbuhan permintaan daripada sektor industri, semikonduktor, penjagaan kesihatan dan pembuatan, serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui kemudahan pengeluaran tempatan,” katanya.
Pelaburan RM120 juta itu akan dibiayai menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Kelington turut menjelaskan bahawa projek berkenaan tidak melibatkan penerbitan saham baharu serta tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih atau tahap keberhutangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Lembaga Pengarah Kelington berpandangan pelaburan tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan yakin ia mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan, meskipun projek itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Maharashtra, India. - DagangNews.com






