Lokasi strategik, sumber semula jadi dorong pembangunan RE di Sabah

28/04/2025 - 12:31
Gambar/Qhazanah Sabah Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 28 April - Lokasi yang strategik serta sumber semula jadi yang melimpah, menjadikan Sabah sebagai negeri mempunyai potensi besar untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Pegawai Eksekutif Qhazanah Sabah Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata, Sabah terletak berdekatan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, serta ekonomi rantau yang pesat berkembang, memberi peluang kepada negeri itu untuk memanfaatkan pasaran baharu dan meraih manfaat daripada kesan limpahan.
"Dengan kekayaan sumber semulajadi Sabah terutamanya tahap radiasi solar yang tinggi, negeri itu mempunyai potensi besar untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
"Sebagai contoh, Sabah boleh menjana sehingga 99.4GW hanya daripada tenaga solar PV, menjadikannya pemain yang menjanjikan dalam membentuk rumusan tenaga lestari untuk masa depan," katanya dalam satu kenyataan selepas Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SAREC 2025) yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru, minggu lalu.
Ahmad Rizal berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta, pengawal selia, pelabur, pereka cipta dan pelaksana adalah sangat penting.
"Adalah penting untuk menggalakkan kerjasama yang memanfaatkan kekuatan semua pihak dari bank, penyedia teknologi, pengawal selia, sehinggalah pembangun hartanah.
"Untuk mencapai ini, kami sedar bahawa pembiayaan hijau, pelaburan yang lestari, dan aliran modal yang sejajar dengan ESG bukan lagi pilihan, tetapi faktor utama dalam pertumbuhan masa depan," ujarnya.
Menurut Ahmad Rizal, tenaga boleh diperbaharui bukan sekadar mengenai penjanaan kuasa dan kemudahan, ia juga tentang meningkatkan kehidupan masyarakat, mencipta peluang pekerjaan berkualiti dan membina ketahanan di seluruh Sabah, terutamanya dalam kalangan penduduk luar bandar dan pribumi.
"Bagi kami, perkongsian ini menunjukkan kerjasama penting antara sektor awam dan swasta untuk mencapai matlamat bersama dalam memajukan industri tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
"Biarlah hari ini menjadi permulaan bagi kerjasama yang lebih kuat dan idea yang berani serta berfikir ke hadapan. Bersama-sama, kita mesti berazam untuk membina Sabah yang unggul dalam masa depan tenaga bersih Malaysia," katanya. - DagangNews.com
standard


